Malaysia Dateline

Azmin Jangan dolak dalih, akui saja PN gagal tarik pelabur asing

Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diingatkan untuk tidak berdolak-dalih mengenai kemerosotan pelaburan asing ke Malaysia.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal NasirĀ  berkata, Azmin harus mengakui bahawa Malaysia di bawah Perikatan Nasional (PN) gagal menarik pelaburan asing berbanding negara-negara jiran yang mencatatkan pelaburan yang memberangsangkan.

Menurutnya juga, alasan Azmin bahawa negara bersikap lebih selektif dalam menarik pelaburan asing yang berkualiti adalah alasan yang tidak munasabah.

“Sekiranya Sekiranya dapatan ini (pelaburan asing ke Malaysia menjunam 68 peratus) dianggap separa benar seperti yang didakwa oleh orang suruhan Azmin, apakah dapatan yang munasabah untuk membuktikan pelaburan selektif yang dilaksanakan oleh kerajaan PN adalah tepat?

“Sedangkan dari segi angka pelaburan, ternyata ia amat membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung telah membangkitkan isu kemerosotan pelaburan asing dan menyifatkan adalah malang apabila sehingga hari ini tiada sebarang penjelasan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengenai sebab atau alasan pelabur asing dari perbadanan multinasional (MNC) meninggalkan Malaysia.

Bagaimanapun, Azmin dilapor menafikan dakwaan kehilangan pelaburan asing ke negara jiran, dengan alasan negara kini sedang mengamalkan sikap selektif bagi menarik pelaburan berkualiti.

Azmin juga berkata dakwaan bahawa MNC-MNC besar lari atau mengelak untuk melabur di Malaysia, bukanlah satu gambaran yang tepat.