Azmin  jangka PRK parlimen Sungai Besar sebelum Ramadan

Azmin jangka PRK parlimen Sungai Besar sebelum Ramadan

Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menjangkakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar bakal berlangsung sebelum Ramadan.

Beliau berkata, segalanya terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari kekosongan.

“Mereka (SPR) perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari. 60 hari dijangka pada hari kedua atau ketiga hari raya.

“Saya tidak rasa mereka akan adakan pilihan raya pada hari raya. Berkemungkinan pada Ramadan atau sebelum itu,” katanya.

Ahli Parlimen Sungai Besar yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sarawak.

Tragedi malang itu turut mengorbankan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar dan empat yang lain.

Berikutan itu, dua pilihan raya kecil bakal diadakan bagi mengisi kekosongan dua kerusi berkenaan.

Menyentuh soal ketetapan Pakatan Harapan untuk meletakkan calon di kerusi berkenaan, Mohamed Azmin berkata perkara itu akan dibincangkan.

Dalam perkembangan lain Bernama Melaporkan Umno sudah bersedia menghadapi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu sebagai calon PRK berkenaan sebagai persiapan awal dilakukan ibu pejabat parti itu selain melihat senarai pengundi, kawasan, demografi dan komposisi kaum di kedua-dua kawasan tersebut.

“Kita akan berikan maklumat awal ini kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang dijangka pada hujung bulan ini untuk diperbincangkan,” katanya mengulas mengenai persiapan parti itu berhadapan pilihan raya kecil di kedua-dua kerusi Parlimen tersebut.

Penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad masing-masing maut dalam nahas helikopter di Sarawak, Khamis lepas.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini, Tengku Adnan berkata walaupun perasaan sedih masih menyelubungi seluruh anggota parti, Umno selaku sebuah parti politik perlu sentiasa bersedia menghadapi segala cabaran, termasuk berdepan pilihan raya kecil.

“Mengenai peluang, saya percaya kedua-dua kerusi ini jika dipertandingkan akan kekal atau kembali semula kepada Barisan Nasional (BN),” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)