Azmin jawab kempen burukkan pentadbiran awam Selangor

Azmin jawab kempen burukkan pentadbiran awam Selangor

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membidas tuduhan amalan rasuah membabitkan pentadbiran kerajaan negeri itu kononnya “wujud permintaan perempuan" apabila berurusan dengan Kerajaan Negeri disiarkan oleh sebuah  portal berita dan dikongsi menerusi media sosial sejak semalam.

Azmin Ali 2Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membidas tuduhan amalan rasuah membabitkan pentadbiran kerajaan negeri itu kononnya “wujud permintaan perempuan” apabila berurusan dengan Kerajaan Negeri disiarkan oleh sebuah  portal berita dan dikongsi menerusi media sosial.

Azmin berkata, ia merupakan satu tuduhan jijik yang tidak disokong oleh sebarang bukti. Ia juga satu kempen fitnah yang terancang terhadap kerajaan serta kakitangan awam di Selangor.

“Dalam melaksanakan serangan jahat dan semberono ini, orang yang menuduh sebenarnya telah mencemarkan nama baik, maruah serta integriti perkhidmatan awam negeri.

“Ia juga sekaligus menafikan sumbangan majlis eksekutif yang telah menyumbang dengan cekap dan bertungkus lumus kepada usaha Kerajaan Negeri membawakan pembangunan dan kemajuan sosio-ekonomi pada negeri ini,” ujarnya dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi menteri besar  tengahari ini.

Kenyataan itu menyebut pentadbiran negeri mengalu-alukan pemberi maklumat yang berhasrat untuk melihat kerajaan yang bersih dan bebas daripada rasuah.

“Pada masa yang sama, mereka yang membuat tuduhan ini perlu membawa hatta sekelumit bukti sekalipun kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk tindakan.

“Menuding jari kepada Kerajaan Negeri tanpa sebarang bukti sokongan dan kemudiannya menjaja tuduhan tersebut kepada semua pihak adalah satu tindakan bacul, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.

“Dasar yang didukung adalah bagi mewujudkan kerajaan yang telus dan bertanggungjawab sepenuhnya tanpa tolak ansur terhadap elemen rasuah.

“Namun pada masa sama, kita semua bertanggungjawab untuk memelihara nama baik dan maruah kakitangan awam serta eksekutif daripada sebarang tuduhan liar yang tidak bertanggungjawab.” ujarnya.

Semalam tersebar satu tranksrip perbualan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dalam kumpulan WhatsApp yang menjadi viral mendedahkan wujud permintaan ‘perempuan’ sebagai habuan dalam berurusan dengan kerajaan negeri Selangor yang ditadbir Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.

Rafizi dalam perbualan tersebut dipetik berkata, menerima aduan selain wang yang diminta dalam urusan kerajaan negeri, terdapat juga permintaan untuk mendapatkan perempuan.

“Semalam saya mendapat laporan dan aduan dari orang bona fide bahawa selain dari wang sekarang ini ada juga permintaan ‘perempuan’ bila berurusan dengan kerajaan negeri (tidak perlulah saya hurai saudara/saudari tahu apa yang saya maksudkan).

“Mereka datang mengadu kepada saya dan saya sedang kumpul maklumat,” tulis Rafizi dalam kumpulan WhatsApp, Solidariti For Anwar yang didedahkan oleh portal The Malaysian Mirror.

TAGS