Malaysia Dateline

Azmin khianat, pengundi Gombak sokong tindakan MPS

Tindakan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak dan DUN Gombak Setia mendapat sokongan padu rakyat Gombak khususnya para pengundi yang telah memilih PKR dan Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum yang lalu.

Menurut Timbalan Ketua Penerangan PKR Mohd Razali Yusof, sokongan rakyat terhadap tindakan MPS itu kerana pengundi Gombak tidak boleh menerima sama sekali tindakan khianat yang telah dilakukan oleh YB Azmin Ali dan YB Hilman Idham ke atas mereka.

Kecurangan dan pengkhianatan yang dilakukan itu adalah dosa yang sangat besar yang dilakukan oleh mereka terhadap amanah yang rakyat sandarkan kepada mereka, kata beliau.

“Kami ingin menasihati YB Azmin Ali dan YB Hilman supaya jangan menipu rakyat lagi dengan ciapan simpati yang cuba untuk memperbodohkan rakyat Gombak.

“Rakyat Gombak tidak pernah lupa dengan tindakan YB Hilman yang mengunci Dewan Gombak Setia ke atas program penyampaian sumbangan bantuan rakyat akibat Covid 19 yang lalu oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor.

“Dewan itu telah dikunci dan semua petugas tidak dibenarkan masuk akibat politik dangkal dan kejam YB Hilman.

“Rakyat yang miskin dan ibu mengandung terpaksa berdiri dan berpanas terik kerana dewan telah dikunci atas arahan YB Hilman sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Razali berkata, tindakan MPS bukan tindakan balas dendam tetapi semata-mata atas desakan rakyat dan pengundi Gombak yang tidak boleh menerima sama sekali tindakan pengkhianatan yang dilakukan oleh YB Azmin dan YB Hilman ke atas mandat serta amanah rakyat.

Hilman Idham melalui ciapan peribadi, katanya pula cuba menarik simpati orang ramai dan penjawat awam kononnya beliau menjadi mangsa kerakusan politik YAB Menteri Besar Selangor dan MPS.

“Ciapan itu adalah strategi lapuk beliau dan cubaan meraih semula sokongan rakyat yang telah ‘membuang’ beliau akibat pengkhianatan yang beliau lakukan ke atas mandat rakyat,” katanya.

Katanya, tindakan sitaan dan pengusiran oleh MPS tersebut telah dilakukan dengan penuh tertib dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Dewan ini akan dikembalikan haknya untuk kegunaan orang ramai khususnya bagi warga Gombak Setia.

“Kepada rakyat dan pengundi Gombak, Kerajaan Selangor sentiasa pada setiap masa memastikan kebajikan, keperluan dan bantuan buat rakyat dipenuhi dengan sempurna,” katanya.

Di DUN Gombak Setia, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Pusat Khidmat Rakyat (Penyelaras) Gombak Setia.

Justeru, beliau mengingatkan warga Parlimen Gombak, YB Saari Sungib selaku Adun Hulu Kelang dan YAB Dato’ Seri Amirudin Shari sentiasa ada bersama dengan rakyat bagi menyelesaikan isu penduduk dan memenuhi harapan rakyat dan pengundi.

“Dengan sokongan rakyat, Gombak akan terus kekal sebagai kubu kuat Keadilan dan Pakatan Harapan dibawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Amirudin Shari serta rakan Pakatan Harapan,”ujarnya.