Malaysia Dateline

Azmin khianati dirinya sendiri, kata Kit Siang

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang memulangkan paku buah keras kepada Menteri Kanan (ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas beliau sebelum ini memuat naik hantaran kontroversi di laman twitternya.

Menurut Kit Siang, ciapan Azmin sebelum ini sebenarnya mengkhianati dirinya sendiri sebagai anggota Menteri kerana enggan mengadakan persidangan Parlimen.

Ciapan Azmin itu juga dibalas dengan penuh kritikan dan serangan oleh pengguna media sosial itu.

Menurut veteran DAP itu, Mohamed Azmin merupakan menteri yang menggunakan pandemik Covid-19 sebagai ‘cek kosong’ untuk menyalahgunakan kuasa tanpa sekatan dan bebas dari pengawasan parlimen.

Sebelum ini, Azmin menerusi ciapan di laman Twitternya menyindir Kit Siang agar mengamalkan penjarakan politik pada saat negara perlu dibangunkan kembali.

Justeru, Kit Siang membangkitkan beberapa isu terutama projek RM30 juta di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), layanan berat sebelah di mana seorang ibu tunggal yang dikenakan denda RM1,000 selepas ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding hukuman terhadap anak kepada seorang VIP.

“Adakah ini sebabnya Menteri tidak mahu mengadakan sidang Parlimen penuh agar pengawasan parlimen tidak boleh dijalankan?

“Terutama dalam (membahaskan) seratus hari pertama pentadbiran kerajaan baharu, dan mulakannya dengan Parlimen satu hari yang tidak masuk akal pada 18 Mei,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam satu kenyataan.

Kelmarin, Azmin mengingatkan Kit Siang supaya mengamalkan ‘penjarakan politik’, di samping penjarakan sosial ketika ini.

“Kit Siang patut berhenti politikkan semua benda, terutamanya ketika negara ini perlu dibina semula.

“Amalkan sedikit penjarakan politik juga,” ciapnya.

Sementara itu, Kit Siang akui, dalam situasi pandemik Covid-19 yang belum pernah berlaku pada mana-mana negara, rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, dan politik, harus mengetepikan perbezaan dan bersatu memerangi Covid-19.

Namun katanya, ia tidak harus dijadikan sebagai ‘cek kosong’ untuk menyalahgunakan kuasa, melakukan kleptokrasi, rasuah berleluasa atau melakukan kebodohan dalam dasar kerajaan.