Malaysia Dateline

Azmin lahir satu ‘new normal’, ugut kerajaan negeri

Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa melahirkan satu ‘new normal’ dan tata kelola baharu apabila mengugut kerajaan negeri yang tidak mahu mematuhi arahan membuka semula ekonomi.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad bertanya, “Adakah ini sebahagian dari ‘the new normal”.

“Kerajaan Pusat mengugut kerajaan negeri. Zaman pintu belakang/tebuk atap, budaya dan tata kelola yang baharu,” kata Khalid melalui twitternya.

Sehubungan dengan itu, Ahli Parlimen Shah Alam itu mencadangkan agar kerajaan pusat dan negeri berbincang baik-baik dan bukannya mengugut.

“Duduk bersama bincang baik-baik. Fahami sebab-sebab keengganan, cari penyelesaian.

“Tu pun nak kena ajar ke. Ini dak, main ugut,” sindir bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu.

Khalid mengulas tindakan Azmin yang mengugut kerajaan negeri yang enggan mematuhi arahan kerajaan pusat agar menbuka kembali aktiviti ekonomi ekoran kelegaan tekanan dari Covid-19.

Tujuh negeri enggan mematuhi sepenuhnya arahan kerajaan pusat iaitu Sabah, Sarawak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Pahang dan Kelantan.

Ekoran itu, Azmin mengugut bahawa kerajaan negeri itu boleh disaman oleh pihak industri yang tidak bersetuju sekatan yang dikenakan ke atas mereka.