Malaysia Dateline

Azmin layak jadi calon PM Pakatan, lapor lidah rasmi kerajaan Selangor

Laporan lidah rasmi kerajaan negeri Selangor, Azmin layak jadi PM Pakatan.

Kempen untuk mencalonkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) naik satu level lagi apabila media rasmi kerajaan negeri Selangor turut menyertainya.

Ia dibuat ketika cadangan agar Tun Dr Mahathir Mohamad dicalonkan sebagai PM dan Datuk Seri Dr Wan Azizah dicalonkan sebagai timbalan PM telah gagal mendapat sokongan PKR walaupun telah disokong oleh Bersatu, DAP dan AMANAH.

Dalam laman Selangorkini.my hari ini, laman rasmi kerajaan Selangor itu melaporkan berita bertajuk “Mohamed Azmin layak dicalonkan PM PAKATAN, berjaya tadbir Selangor”.

Berita itu melaporkan pandangan yang diutarakan oleh peguam, Harris Idaham dalam Forum Anak Muda: Siapa Perdana Menteri Pilihan Millennial? yang menjelaskan Mohamed Azmin berjaya dengan cemerlang menerajui Kerajaan Selangor.

“Bagi Mohamed Azmin, saya merasa Selangor adalah pentas ‘rehearsal’ terbaik untuk seorang yang mahu dicalon Perdana Menteri.

“Selangor sebuah negeri besar berbanding negeri lain dan kajian Institut Darul Ehsan (IDE) juga menunjukkan popularitinya melebihi 60 peratus,” katanya yang memetik kajian IDE, sebuah lagi badan di bawah kerajaan negeri Selangor.

Sebelum ini, bekas rakan setugas Azmin, Ezam Mohd Nor yang kini keluar meninggalkan Umno mencadangkan agar Azmin dan Mukhriz Mahathir dicalonkan sebagai gandingan calon PM dan timbalan PM PH.

Cadangan itu kemudiannya disokong oleh timbalan Azmin dalam PKR Selangor, Zuraidah Kamarudin yang juga ahli parlimen Ampang.

Selepas cadangan itu, timbul pula berita tanpa sumber oleh Bernama, kononnya Azmin mahu bertanding di Shah Alam manakala Zuraidah pula mahu bertanding di Hulu Langat.

Ahli parlimen Shah Alam adalah Khalid Samad, manakala kerusi Hulu Langat telah dipersetujui dalam perundingan kerusi PH akan ditandingi oleh calon AMANAH dalam PRU 14 ini.

Menurut Khalid Samad dalam satu kenyataannya, antara persetujuan awal jawatankuasa perundingan kerusi PH itu adalah penyandang akan terus mengekalkan kerusi masing-masing.

Menurut Khalid, beliau yakin ada pihak yang cuba melagakan beliau dengan Azmin di samping melaga-lagakan parti dalam PH.

Ini kerana, katanya, Azmin sudah selamat di Gombak, kenapa perlu berpindah pula ke Shah Alam.

“Rupanya kerusi Shah Alam mahu diberikan kepada Ezam yang sebelum ini pernah bertanding di kerusi itu atas tiket PKR tetapi kalah,” kata satu sumber.

Serentak dengan inisiatif kempen ini, poster “Kabinet Bayangan PH” telah disebarkan ke dalam media sosial.

Menurut poster “Kabinet Malaysia Baru: Muda – Dinamik – Wibawa” itu, Azmin dinamakan sebagai PM manakala Mukhriz adalah TPM.

Nama Mahathir dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyidin Yassin tidak ada langsung dalam kabinet itu.

Turut tidak ada dalam senarai adalah Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP.

Poster Kabinet PH yang disebarkan dalam media sosial.

Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Ismail dinamakan sebagai Menteri Di JPM bersama Salahudin Ayub (Naib presiden PH), Tony Pua (Ketua Penerangan PH) dan juga Datuk Dr Rais Husein (Pengarah Strategi Bersatu).

Seorang penganalisis memaklumkan kepada Malasia Dateline, satu ‘war room’ telah ditubuhkan untuk menguruskan kempen ini yang diketuai oleh seorang bekas setiausaha agung sebuah parti.

Turut serta dalam jawatankuasa ini adalah seorang bekas ketua sekretatiat sebuah gabungan parti dan seorang penganalisis dan pembuat poll terkenal.

Di samping war room, kempen juga digerakkan melalui media sosial oleh satu kumpulan yang diketuai oleh seorang aktivis media sosial yang diumumkan menyertai PKR baru-baru ini.

Kempen ini menyebarkan aktiviti Azmin dalam pelbagai kumpulan whatapps, facebook dan media sosial yang lain sehingga menenggelamkan Wan Azizah sendiri selaku presiden PKR.