Malaysia Dateline

Azmin mahu tumpu Persidangan APEC 2020

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu menumpukan perhatian kepada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 yang dijadualkan hujung tahun ini.

Sebagai tuan rumah APEC 2020, beliau berkata persidangan itu menjadi agenda utama yang perlu diberi perhatian.

“Kini saya boleh tumpu kepada tahun 2020, kerana Malaysia akan menjadi tuan rumah APEC, sebab itulah semua pihak pimpinan negara bertungkus lumus siapkan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran, tausiah dan doa selamat di Masjid Jamek Al Amaniah, Batu Caves malam tadi.

Timbalan Presiden PKR itu mengakui beliau melalui ujian getir bagi tempoh amat panjang selepas dikaitkan dengan kes video seks, yang disifatkannya sebagai satu percaturan politik paling kejam ke atasnya.

Khamis lepas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas mengesahkan tiada mana-mana pihak akan didakwa berhubung video seks yang dikatakan melibatkan personaliti politik berikutan tiga dapatan berasingan membuat kesimpulan bahawa individu dalam video itu tidak dapat dikenal pasti.

Menurut Thomas, CyberSecurity Malaysia, pakar forensik di Amerika Syarikat dan laporan analisis dibuat orang persendirian mengesahkan pengenalan identiti tidak boleh dibuat secara konklusif berdasarkan analisis pengecaman wajah.

“Sebagai umat Islam kita panjatkan rasa syukur dan saya secara peribadi ucapkan alhamdulillah atas pengumuman itu, saya yakin dengan proses yang dijalankan,” kata Mohamed Azmin.

— BERNAMA