Malaysia Dateline

Azmin mesti segera panggil mesyuarat khusus bincang agihan kerusi

Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Abbas Azmi menggesa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Seri Azmin Ali supaya segera memanggil mesyuarat khusus untuk membincangkan agihan kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang akan ditandingi.

Menurutnya, langkah tersebut paling penting dibuat bagi melancarkan fokus kepada kerja-kerja di peringkat akar umbi memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semakin hampir.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PH Selangor berkata, dakwaan Azmin kononnya jawatankuasa rundingan kerusi sudah mengadakan empat kali pertemuan adalah tidak benar.

“Kita pelik dengan kenyataan Datuk Seri Azmin Ali tentang empat kali rundingan itu sedangkan pertemuan tersebut bukan atas kapasiti jawatankuasa yang dibentuk bagi rundingan kerusi.

“Sewajarnya, isu pembahagian kerusi ini kita selesaikan di meja rundingan secara berdepan bukan di media kerana hal itu tidak menyelesaikan masalah bahkan mengundang kecelaruan rakyat,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Sehubungan itu, Abbas mengulangi gesaan supaya Azmin bertindak untuk menubuhkan pembentukan jawatankuasa rundingan kerusi melibatkan kesemua anggota Pakatan Harapan di negeri tersebut.

“Sekarang ini dengan pilihan raya yang semakin dekat dan banyak kerja perlu diselesaikan, kita menggesa supaya Pengerusi PH Selangor cepat bertindak. Kita selesaikan di meja rundingan tentang agihan kerusi ini.

“Pembentukan jawatankuasa rundingan kerusi melibatkan AMANAH, PKR, Bersatu dan DAP ini adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan beberapa kelompangan di sana-sini.

“Pengerusi PH Selangor mesti memanggil pengerusi-pengerusi negeri untuk berunding memuktamadkan agihan kerusi seperti yang turut disyorkan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu,” ujarnya.

Untuk rekod, kedudukan kerusi Dun di Selangor pada masa ini diwakili DAP sebanyak 14 kerusi, diikuti PKR dan Pas masing-masing 13 manakala AMANAH (2), Bebas (2) serta BN (12).

Mengulas tentang kemungkinan Azmin akan bertanding di Bagan Datuk, Abbas berpendapat penyandang kerusi Parlimen Gombak itu sememangnya layak untuk berbuat demikian.

“Beliau sebagai Timbalan Presiden PKR yang banyak membuat jasa melalui pelbagai program dan inisiatif kebajikan rakyat di Selangor.

“Reputasi Datuk Seri Azmin di Selangor melayakkannya untuk bertembung dengan timbalan presiden Umno itu.

“Malahan, beliau layak bertanding di Pekan berdepan dengan Presiden Umno sekalipun. Itu adalah terbaik buat beliau,” ujarnya lagi.