Azmin nafi beri kata dua kepada exco Pas

Azmin nafi beri kata dua kepada exco Pas

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan memberikan kata dua kepada exco Pas supaya meletak jawatan atau melupakan hasrat bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar bulan depan.

Dipetik MstarOnline, Mohamed Azmin berkata, fokus beliau kini ialah mengadakan perbincangan dengan pelbagai parti pembangkang untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.

“Kata dua? Tak ada seperti itu. Ia tidak benar. Fokus kami adalah untuk membincangkan mengenai kerusi berkenaan dan ia belum selesai,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di sini, semalam.

Menteri Besar Selangor itu diminta mengulas laporan bahawa beliau telah meminta anggota exco daripada Pas untuk meletakkan jawatan jika parti itu berkeras mahu bertanding dalam pilihan raya kecil itu nanti.

Menurut laporan itu, Mohamed Azmin mahu PKR bertanding di kerusi tersebut dan bukannya Pas atau Amanah.

Sementara itu, ditanya sama ada Pas akan kekal dalam pentadbiran negeri jika ia bertanding kerusi itu, Menteri Besar Selangor dipetik sebagai berkata: “Jangan terus membuat kesimpulan.”

 

TAGS