Malaysia Dateline

Azmin nafi sorok lebih RM300 juta di luar negara

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan dakwaan kononnya beliau mempunyai lebih RM300 juta yang disorok di luar negara sebagai tuduhan palsu dan berniat jahat.

“Ini tuduhan palsu, yang berniat jahat dan kita tidak harus melayani fitnah dan tohmahan ini. Siapa yang buat tuduhan kena tampil ke hadapan dan buat laporan secara bertulis.

“Jangan buat tuduhan tidak berasas dan fitnah,” tegasnya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden PKR berkenaan menuntut pihak terbabit tampil kepada pihak berkuasa dengan bukti kukuh sebelum membuat tuduhan.

“Jadi mana-mana individu yang yakin ada bukti yang kukuh, tampil kepada pihak berkuasa supaya siasatan ini dapat dilakukan.

“Bagi saya, ini satu percubaan jahat dan satu fitnah untuk mencemarkan reputasi saya,” ujar bekas Menteri Besar Selangor itu lagi.

Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan penulis blog ‘Toyol Of Selangor’ pada 18 Jun lalu bahawa Azmin dan isterinya, Shamsidar Taharin memiliki sejumlah akaun bank di seberang laut.