Malaysia Dateline

Azmin optimis PH akan terus kekal di Semenyih

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali yakin dan optimis dengan prestasi Pakatan Harapan (PH) di Selangor dan sekali gus PH akan terus kekal di Dun Semenyih.

Beliau berkata demikian kerana tidak bersetuju dengan kaji selidik dijalankan Ilham Centre yang mendakwa BN mungkin menang pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.

“Saya tidak bersetuju. Tinjauan yang dijalankan oleh kumpulan berlainan (tetapi) pada akhirnya rakyat akan memutuskan berdasarkan prestasi kerajaan dan parti politik,” katanya kepada media ketika kempen di Sungai Jai di Semenyih semalam.

Terdahulu Ilham Centre meramalkan BN akan merampas semula kerusi DUN Semenyih pada pilihan raya kecil yang berlangsung hari ini. BN menguasai kerusi itu sejak tahun 1959 sehingga pilihan raya umum yang lalu.

Ilham merumuskan PH memerlukan “formula ajaib” bagi memenangi PRK berkenaan terutama dalam menarik sokongan pengundi Melayu.

Sebaliknya, Azmin berkata, PH tidak memerlukan formula berkenaan kerana telah bekerja keras dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini di Selangor.

Sementara itu, Azmin menafikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengkhianati orang Melayu di Selangor.

Tegas Azmin, Melayu di Selangor adalah yang paling maju dan berjaya dibandingkan dengan penduduk di negeri-negeri lain.

“Ada pihak yang datang ke Semenyih bawa pelbagai propaganda fitnah, supaya orang Melayu terutamanya umat Islam jangan dekat dengan PH.

“Mereka menakutkan orang Melayu, seolah-olah PH ini khianat pada orang Melayu dan umat Islam. Seolah-oleh PH ini dikuasai oleh DAP.

“Inilah yang dicanangkan oleh mereka yang turun di Semenyih untuk meraih undi daripada orang Melayu.

“Makcik pakcik saya nak beritahu, Selangor ini alhamdulillah, ini sebuah negeri pelbagai kaum pelbagai agama.

“Kita telah berada di Selangor ini puluhan tahun, ini bukan sebuah negeri yang 100 peratus Melayu dan umat Islam. Ada orang Cina, India, (dan) majoriti Melayu,” katanya di petik Malaysiakini.

Tambahnya sekiranya Selangor tidak stabil, sudah pasti ramai pelabur tidak datang ke negeri itu dan golongan muda tidak mempunyai pekerjaan berpendapatan tinggi.