Malaysia Dateline

Azmin perlu bertanggungjawab laman web MITI gagal diakses

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digesa untuk mengambil penuh tanggungjawab terhadap kegagalan syarikat-syarikat mengakses laman web kementerian berkenaan.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, tepat seperti jangkaan bahawa ia akan dibanjiri permohonan dari syarikat yang ingin meneruskan atau memulakan operasi mereka sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 3 yang bermula esok sehingga 28 April 2020.

Majlis Setiausaha juga telah memberi amaran tentang kemungkinan perkara itu berlaku sejak minggu lalu lagi berikutan sektor tambahan yang diumumkan dikatakan tidak difikirkan dengan baik dengan beberapa definisi terlalu umum.

“Dalam kenyataan akhbar semalam, pihak MITI menyalahkan lebih 176,000 pelawat ke laman web MITI dengan mengatakan bahawa majoriti pelawat ini adalah individu dan bukan syarikat.

“Kami terkejut MITI tidak dapat membezakan antara individu dan syarikat yang melawat laman webnya khususnya pada waktu PKP.

“Ini kerana, kebanyakan individu yang bekerja untuk syarikat, bekerja dari rumah. Oleh itu, mereka mengakses laman web MITI dari rumah mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama itu dibuat antara Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil; Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli; dan DAP Dr Ong Kian Ming.

Tambah PH lagi, jumlah 176,000 pelawat yang cuba mengakses laman web MITI semalam kemungkinan bukan pelawat unik, tetapi pelawat yang cuba beberapa kali namun tetap gagal mengakses laman web tersebut.

Katanya, MITI seharusnya sudah menganggarkan laman webnya akan dibanjiri pelawat oleh kerana kementerian itu sendiri yang menambah sektor dibenarkan untuk beroperasi.

Ini termasuklah syarikat dari sektor perkhidmatan iaitu kedai perkakasan, kedai-kedai menjual barang elektrik, perkhidmatan kesihatan sosial seperti pengamal perubatan tradisional, syarikat dalam sektor ‘Mesin & Peralatan’ serta beberapa sektor industri pembinaan.

Malah PH menegaskan, kekeliruan mengenai beberapa definisi yang terlalu umum juga menjadi faktor yang menyumbang kepada penambahan jumlah pelawat dan bilangan permohonan.

“Kekeliruan tentang sama ada perkhidmatan firma guaman boleh beroperasi adalah satu contoh.

“Di samping itu, MITI juga menggalakkan semua syarikat pembuatan yang sebelum ini telah memperolehi kelulusan MITI untuk beroperasi, memohon semula melalui laman web MITI.

“Masalah-masalah yang dibangkitkan di atas tidak akan diatasi hanya dengan membuat pembetulan kepada isu akses ke laman web MITI, kerana kami jangka memproses berpuluh ribu permohonan apabila garis panduan yang tidak jelas akan mengambil masa,” ujarnya.

PH berkata, Keadaan itu hanya akan mengakibatkan beban tambahan kepada syarikat-syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang sedang menghadapi cabaran besar pada masa ini.

Justeru, PH menegaskan dan menyeru agar Menterinya, Azmin Ali mengambil tanggungjawab penuh terhadap kegagalan tersebut dan menjelaskan bagaimana beliau akan menyelesaikan masalah tersebut pada kadar segera.