Azmin perlu letak jawatan jika terbabit video intim, kata Anwar

Azmin perlu letak jawatan jika terbabit video intim, kata Anwar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu meletakkan jawatan sekiranya video intim yang tersebar beberapa bulan lalu, didapati sahih.

“Pada awalnya saya katakan Azmin tidak perlu bercuti kerana ia peluru tembakan rambang. Sekarang ini Perdana Menteri sudah beri kenyataan baharu bahawa terpulang kepada Azmin sendiri.

“Sekiranya video tersebut sahih, maka sepatutnya dia meletakkan jawatannya, tetapi kita masih tidak dapat pengesahan. Kalau tidak sahih, saya tidak fikir Azmin patut meletak jawatan, bergantung kepada hasil siasatan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, di Majlis Beyond Paradigm Summit 2019, Dr Mahathir berkata, terpulang kepada Timbalan Presiden PKR itu jika beliau mahu mengambil cuti atau meneruskan tugas sementara menunggu siasatan polis ke atas video tersebut.

Isnin lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador memaklumkan, dalang di sebalik pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan seorang mirip menteri telah dikenal pasti.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut berkenaan dalang itu, beliau berkata pihaknya telah mempunyai ‘bayangan’ dalang yang terlibat kes itu, dan telah membuat beberapa tangkapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Siasatan kes ini tertumpu kepada dua siasatan, iaitu kami menyiasat mereka yang terlibat dalam pembikinan video itu, dan mereka yang menyebarkan video berkenaan,” katanya.