Malaysia Dateline

.Azmin pertahankan Anwar dalam isu dakwaan perlakuan tidak senonoh

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mempertahankan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikaitkan dengan dakwaan perlakuan tidak senonoh.

Dalam isu tersebut, Azmin menegaskan PKR adalah sebuah parti yang menolak politik kotor dan keji.

“Itu (politik kotor dan keji) bukan amalan kita. Kita mahu pihak yang tidak bersetuju harus berdepan dengan hujah yang sihat dan bukannya terjerumus dengan amalan fitnah dan keji.

“Saya kira Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil langkah wajar, termasuk membuat laporan polis.

“Jadi, kita serahkan perkara ini kepada pihak polis untuk melakukan siasatan. Sesiapa yang terlibat dalam budaya ini mestilah dihukum,” katanya.

Azmin berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kongres Nasional Tahunan Wanita dan Angkatan Muda Keadilan 2019, di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.

Siang tadi BH melaporkan, Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Shukri Saad, membuat laporan polis terhadap akuan bersumpah seorang individu, Muhammad Yusoff Rawther, berhubung dakwaan perlakuan tidak senonoh Presiden PKR itu ke atasnya.

Shukri berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung isu berkenaan.

“Kita serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan akan kaji tindakan undang-undang boleh diambil terhadap Muhammed Yusoff,” katanya ringkas selepas ditemui pemberita, hari ini selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Semalam, dalam satu sidang media, Muhammed Yusoff Rawther dalam pengakuan bersumpahnya mendakwa seorang ahli politik kanan melakukan jenayah yang digambarkan sebagai perbuatan keji, teruk, tersembunyi, tidak Islamik, berbahaya dan tidak bermoral terhadapnya.

Anwar dalam satu kenyataan media pagi tadi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Muhammad Yusoff itu yang kononnya berlaku pada 2 Oktober tahun lalu.

“Pada tarikh yang didakwa, saya sedang giat menjalankan kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson serta menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur dan kembali semula ke Port Dickson untuk memenuhi jadual kempen,” katanya seperti dipetik BH.