Malaysia Dateline

Azmin puncanya kalau PH gagal, dia jaga ekonomi dan Felda

Tuduhan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal selepas menjadi kerajaan Persekutuan selama 22 bulan tidak lebih hanya mengakui kelemahan sendiri.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menegaskan Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) itu punca kegagalan kerajaan PH.

“Azmin datang ke Slim dia maki kerajaan PH kerana gagal, dialah sebab dia jadi menteri 22 bulan.

“Malu hadirin sekalian, kita datang maki bapa kita, malu ke tidak, dia 22 bulan jadi menteri dia datang maki kerajaan dulu,” katanya ketika Ceramah Perdana PH membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim bagi calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi malam tadi.

Terdahulu, Azmin yang baharu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kempennya meminta pengundi Slim menyokong Perikatan Nasional (PN) menganggap kerajaan PH sebagai gagal.

Dakwa bekas Timbalan Presiden PKR itu, ramai rakyat negara ini akan mati dijangkiti Covid-19 jika PH masih memerintah kerana Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan enggan mengeluarkan peruntukan.

Malah, Azmin ketika melawat bilik gerakan MIC pusat daerah mengundi (PDM) Ladang Sungkai dekat Kampung Hendra, Sungkai pagi semalam berkata, Menteri Besar Perak bekerja 24 jam untuk rakyat ketika Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga penyandang jawatan sama ketika era kerajaan PH.