Malaysia Dateline

Azmin rasmi sayap Wanita, Wan Azizah rasmi AMK, kata Fahmi

Perasmian sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita dirasmikan secara berbeza dalam Kongres Nasional PKR, minggu depan.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil acara itu diadakan secara berasingan kerana Kongres AMK akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan merasmikan sayap Wanita pada 5 Disember depan.

 “Saya belum terima apa apa maklumat sama ada Datuk Seri Azmin akan hadir akan tidak (merasmikan sayap Wanita) ini penganjuran sekretariat bagi kongres Wanita,” katanya di ibu pejabat PKR, sepeti dipetik dari Malaysiagazette hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kehadiran Azmin untuk merasmikan Kongres Wanita juga belum dimaklumkan kepada Biro Politik dan Sekretariat Kongres.

“Ini adalah dibawah penganjur pihak Sekretariat Wanita. Setakat ini Biro Politik dan Sekretariat bagi Kongres Nasional belum dimaklumkan tentang perkara ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar (SUA) Azmin, Wong King Chai mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Gombak itu akan hadir merasmikan sayap Wanita.

“Ya,” katanya ringkas.

Belum pun bermula, Kongres Nasional PKR yang bakal diadakan di Melaka minggu depan terus mencetuskan kontroversi apabila jawatan Pengerusi Tetap Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhamad Mizan Adli Mohd Nor dan timbalannya, Mohd Ramly Ahmad ditamatkan pada Rabu.

Perkara itu didedahkan menerusi surat ditandatangani Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razak dengan mengemukakan alasan penamatan dibuat kerana umur kedua-dua pemimpin itu telah melebihi 35 tahun seperti ditetapkan parti