Malaysia Dateline

Azmin tak wajar diaibkan, Hanipa saran laksana hukum jenayah qazaf

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali tidak wajar diaibkan oleh sesiapa pun dan tuduhan yang dilemparkan terhadap pengerusi PKR Selangor itu memberi pengajaran mengapa Islam mewujudkan hukum qazaf iaitu bagi menjaga maruah, harga diri dan air muka individu daripada tuduhan melakukan jenayah seks tanpa bukti.

Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Kanun) AMANAH Nasional Mohamed Hanipa Maidin berkata, beliau pernah membangkitkan persoalan qazaf di parlimen namun kesal kerana ahli-ahli parlimen yang mewakili sebuah parti Islam tidak peka dengan isu itu.

Qazaf adalah satu kesalahan jenayah syariah yang merujuk kepada tindakan menuduh seseorang melakukan zina tanpa mengemukakan empat orang saksi.

Mohamed Hanipa Maidin02Menurut Hanipa (foto), beliau pernah mengkritik pedas tindakan seorang peguam kanan di Dewan Rakyat kerana melakukan ‘road show’ mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tuduhan seksual.

Peguam kanan itu, katanya diberi fiat (kebenaran) oleh peguam negara untuk mengendalikan kes dakwaan liwat Anwar.

Menjelaskan inti ucapannya di Dewan Rakyat di laman facebook, Hanipa memetik kandungan sebuah kitab tentang hukum qazaf yang menjelaskan khilaf (perbezaan pendapat) ulama sama ada qazaf termasuk dalam hak-hak Allah atau hak anak Adam (manusia).

Menurut beliau, ulama yang berpendapat qazaf adalah hak Allah menyatakan jika pesalah qazaf memohon maaf sekalipun, hatta mangsa yang difitnah memaafkan sipenjenayah, hukuman 80 kali sebatan tetap perlu dilaksanakan.

“Sepatutnya yang cakap isu itu bukan saya tapi para agamawan dalam ‘parti suci’. Tapi itulah… yang kuat berkokok (tentang) RUU 355, hairan juga masa kes Datuk Seri Anwar Ibrahim diaibkan, senyap sahaja dalam Parlimen.

“Saya kadangkala bingung isu agama sebegitu tak cakap, isu dunia seperti 1MDB pun tak cakap. Habis buat apa ada dalam Dewan Rakyat ya?” soal beliau.

Menurut Hanipa, secara peribadi beliau merasakan Azmin yang juga timbalan presiden PKR tidak wajar diaibkan sebegitu rupa dan insiden ini menunjukkan betapa pentingnya maruah, harga diri dan air muka individu amat perlu dihormati dan dilindungi dengan hukuman qazaf.

Semalam adik Azmin, Azwan Ali membuat laporan polis bagi menyiasat dakwaan skandal seks membabitkan Azmin seperti didakwa sebuah blog baru-baru ini.

Laporan polis berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kira-kira jam 3 petang.

“Saya buat laporan polis ini kerana kes ini perlu dibersihkan apatah lagi melibatkan nama Azmin Ali dan isterinya.

“Ini maruah seorang pemimpin, ini bukan skandal seks artis tetapi skandal seks pemimpin nombor satu Selangor.

“Saya tak tuduh dia (Azmin) buat skandal seks tetapi laporan polis saya hari ini menjurus kepada dua spesifikasi iaitu kepada tertuduh dan yang membuat tuduhan (blog terbabit),” kata Azwan, pengacara rancangan hiburan yang turut mendakwa dirinya sebagai ‘Diva AA’.

Azmin awal minggu ini menafikan tuduhan di blog berkenaan yang mendakwa beliau mempunyai hubungan dengan seorang wanita yang sudah berkahwin.

Katanya, artikel itu berniat jahat dan merupakan fitnah terhadapnya menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

Difahamkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menyekat akses ke blog berkenaan selepas seorang wanita membuat laporan polis.

Sementara itu Azwan turut menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengantung kedudukan Azmin selaku ahli lembaga pengarah pihak berkuasa itu sehingga siasatan selesai.