Azmin tidak perlu letak jawatan maupun direhatkan, kata Otai Reformis 98

Azmin tidak perlu letak jawatan maupun direhatkan, kata Otai Reformis 98

 

Golongan yang membawa atau menganjurkan perubahan kepada yang lebih baik merupakan reformis yang tidak harus dipinggirkan maupun dilupakan.

Sebagai orang lama yang pernah berjuang sejak 1998 dengan turun padang melalui pelbagai provokasi dan tribulasi yang telah dihadapi ia sedikit pun tidak melunturkan semangat juang sehingga ke hari ini.

Demikian dinyatakan oleh Lim Chee Leong yang juga merupakan salah seorang Otai Reformis sejak 1998 lagi.

Jelasnya, desakan oleh Otai Reformis, Dr. Idris Ahmad supaya Datuk Seri Azmin Ali direhatkan sementara bagi membolehkan siasatan dibuat adalah tidak wajar sama sekali.

Malah kata beliau lagi, Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi memperlihatkan keupayaan beliau untuk menghadapi pertuduhan fitnah tersebut tanpa mengganggu tugasan beliau sebagai seorang menteri kabinet.

“Begitu juga dengan desakan supaya penyerahan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8 merupakan desakan melampau kerana Tun Mahathir sendiri telah pun bersetuju dan dipersetujui sebelum kemenangan Pakatan Harapan (PH).

“Tuduhan terhadap Tun Mahathir turut dilihat seperti serangan peribadi dan dendam yang tidak berkesudahan sejak tahun 1998 lagi.

“Dalam konteks ini, Haziq Aziz yang telah mencemarkan nama baik dan imej PKR tidak harus dibiarkan terus berada dalam parti yang telah memperjuangkan keadilan sejak 20 tahun yang lalu,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan bekas calon Ketua Cabang Batu Kawan juga berkata sepatutnya mereka yang mendakwa sebagai Otai Reformis menyatukan semua pemimpin dan ahli semula ke dalam saf.

Namun begitu apa yang dikesalkan tambahnya, kenyataan demi kenyataan yang dilemparkan sejak kebelakangan ini amat mendukacitakan kerana ia lebih menjurus kepada dokongan politik sebelah pihak sahaja,

Justeru itu saran beliau, demi kebaikan dan masa depan PKR serta PH maka semua pihak harus menjauhkan segala prejudis sesama pimpinan dan melihat jauh ke hadapan bagi membela nasib rakyat dan meneruskan perjuangan untuk memastikan PH tetap kekal sebagai sebuah parti yang mampu untuk meneruskan kesinambungan perjuangan bagi membawa perubahan dalam negara serta memperjuangkan nasib rakyat.

Katanya lagi, segala prasangka yang wujud akan meremukkan segala aspirasi rakyat yang amat mengharapkan nasib mereka diberi pembelaan lebih baik jika dibandingkan dengan zaman pemerintahan BN sebelum ini.

Ujar beliau lagi, PH wajib membuktikan ia merupakan parti pemerintah yang utuh dan kukuh tanpa boleh diganggu gugat oleh mana-mana anasir sama ada dari dalam maupun dari luar.