Malaysia Dateline

Mohamed Azmin Ali

Azmin TPM: Rakyat jangan percaya serangan ‘cybertrooper’ pembangkang

Semua golongan masyarakat, khususnya pendokong Pakatan Harapan (PH) disarankan supaya tidak terpedaya dengan serangan ‘cybertrooper’ pembangkang sepertimana giat dilakukan tatkala ini.

Demikian saranan yang dibuat oleh Ketua Cabang PKR Bagan, Alan Oh ketika ditemui selepas meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama pelbagai golongan masyarakat di Bandar Perda, Bukit Mertajam semalam.

Alan Oh

Jelas Alan lagi, dakwaan yang mendakwa bahawa Datuk Seri Azmin Ali akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas Tahun Baru Cina juga merupakan salah satu serangan yang tidak harus dipandang ringan.

“Serangan sedemikian hanyalah sebagai salah satu usaha pembangkang bagi mencelarukan pemikiran pendokong PH.

‘Selain itu ia turut mempunyai motif untuk melaga-lagakan kepimpinan dalam PKR.

“Disamping itu matlamat mereka seterusanya adalah bagi menimbulkan perpecahan dikalangan komponen PH yang dilihat semakin kuat dan utuh kini, ” tegas beliau.

Sehubungan itu katanya, semua pihak harus berwaspada dan berhati-hati menerima apa jua tularan dari media sosial menjelang pilihan raya kecil (PRK) Dun Semenyih tidak lama lagi.

“Setelah mereka berjaya menang dengan pelbagai dakyah dan fitnah dalam PRK Cameron Highland baru-baru ini, kini modus operandi yang sama akan dilakukan sekali lagi.

“Oleh itu apa jua desas-desus yang cuba dimainkan oleh pembangkang harus disanggah dengan segera.

“Kegagalan bertindak dengan pantas dan cepat akan memberi kredit yang besar kepada oposisi untuk meneruskan agenda dan modus operandi mereka, ” ujarnya lagi.

Rentetan itu kata Alan, mematahkan serangan demi serangan ‘cybertrooper’ pembangkang mesti dilakukan dengan segera tanpa lengah oleh PH.