Malaysia Dateline

Azmin umpama melukut di tepi gantang, hidung tak mancung pipi tersorong-sorong

PKR Gombak menyifatkan Ahli Parlimen mereka, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai melukut di tepi gantang dan hidung mancung pipi tersorong-sorong selepas Pas dan Umno Gombak menolak beliau.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Penerangan PKR Gombak, Syed Ali Al-Idrus terhadap Menteri Kanan Ekonomi kerajaan Perikatan Nasional itu.

“Ringkasnya Umno dan Pas sepakat menolak sebarang hubungan dengan Azmin. Hubungan secara terang ditolak, hubungan secara sulit juga ditentang oleh mereka.

“Kenyataan beliau umpama pepatah melayu iaitu bagai melukut di tepi gantang atau lebih tepat lagi ibarat hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

“Justeru itu, kenyataan arkitek utama ‘Langkah Sheraton’ itu yang katanya lebih selesa bersama Umno dan PAS tidak menghadirkan sekelumit kesan pun ke atas perjuangan Keadilan,” kata Syed Ali.

Pada masa sama, Syed Ali menganggap kekuatan PKR semakin bertambah meskipun Azmin dan penyokongnya keluar dari parti untuk bekerjasama dengan Umno dan Pas.

“Tatkala beliau sedang berusaha gigih untuk cuba memeluk Umno dan Pas, PKR pula semakin kuat dan semakin ramai menyertai parti keramat ini.

“Malah, sokongan rakyat ke atas Anwar dan kepimpinan Keadilan semakin hebat. Di Selangor, kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shari selaku Menteri Besar sangat disenangi oleh rakyat dan penjawat awam biarpun kerajaan negeri berdepan cubaan sabotaj dan khianat oleh pihak tertentu termasuk isu pencemaran air.

“Kepada semua ahli Keadilan dan rakyat keseluruhannya, ribuan terima kasih atas sokongan anda semua buat Keadilan dan Pakatan Harapan. Insya-Allah, dengan kuasa dan kekuatan rakyat, kita akan mencapai kemenangan yang lebih besar.

“Harapan rakyat akan kami akan cuba penuhi sebaiknya dan obor Reformasi akan terus menyala dengan semaraknya dengan berkat sokongan serta doa semua,” katanya.