Malaysia Dateline

Azwan serah dokumen sulit kes salah laku rasuah, kemewahan melampau ke SPRM

Selebriti terkenal, Azwan Ali menyerahkan dokumen sulit dan bukti kukuh mengenai kes salah laku rasuah dan kemewahan melampau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)di Putrajaya hari ini.

Tanpa mahu mendedahkan individu yang dikaitkan dengan rasuah dan kemewahan melampau itu Azwan berkata, beliau menyerahkan laporannya itu untuk tindakan lanjut badan pencegah rasuah itu.

“Saya memanjatkan kesyukuran kerana memudahkan hajat ke SPRM.

“Saya bawa banyak bukti. Saya bocorkan sikit jer ya …saya hadir untuk kes salah laku rasuah dan kemewahan melampau.” ujarnya kepada media di luar bangunan SPRM di Putrajaya.

Ditanya media siapa yang beliau maksudkan? Azman berkata:” Siapa?”, beliau menyoal semula kepada wartawan tanpa memberitahu kepada siapa laporan itu ditujukan untuk tidak menganggu siasatan SPRM terhadap laporan yang dibuatnya.

Menurut Azwan lagi beliau telah menyimpan selama 30 tahun bukti pelakuan rasuah dan kemewahan yang didakwanya dilakukan individu yang tidak mahu didedahkan itu.

Ditanya sebab beliau mengambil keputusan untuk mendedahkan dakwaannya itu begitu lama, Azwan menerangkan, bukan kerana hampir pilihan raya sebaliknya kerana Allah, katanya.

“Saya buat perkara ini sendiri bukan sebab sudah dekat pilihan raya umum tetapi kerana Allah.

Azwan berkata beliau bertemu dengan Timbalan Pesuruhjaya (Operasi ) SPRM Datuk Azam Baki dalam pertemuan selama 10 minit untuk menyerahkan bukti.

Azwan turut mendakwa semalam beliau menerima panggilan daripada pemimpin pembangkang yang menyokong niatnya untuk mendedahkan rasuah dan salah laku individu yang dimaksudkannya itu.

“Saya nak konsi semalam saya terima bertalu-talu panggilan pemimpin pembangkang yang ucap taniah kepada apa yang saya lakukan,” ujarnya.

Bagaimanapun dakwaan Azwan itu dipercayai ada hubungkait dengan abangnya Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Azmin Ali. Ini susulan Azwan sendiri telah memuat naik video di instagramnya yang menunjukkan dokumen yang disediakan bagi tujuan akan dihantar ke SPRM.

Dokumen itu jelas menunjukkan tajuk yang tertulis: Laporan Kepada SPRM, Salah Laku Rasuah dan Kemewahan Melampau Mohamed Azmin Bin Ali @ Datuk Seri Azmin Ali MB Selangor, Keluarga Terdekat & Kroni.

Azwan turut memuat naik status yang menyebut:” Sesungguhnya makan hasil riba dilaknat Allah swt.”