Ada yang berpendapat golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) beranak ramai itu sebagai rezeki tetapi kalau merempit dan terjebak hisap dadah pun tidak guna.
Warganet dilihat saling berdebat mengenai saranan supaya isi rumah B40 melakukan perancangan keluarga agak tidak beranak ramai setiap tahun.
Bagi pengguna Facebook, Quza Ibrahim, soal anak termasuk jodoh, maut dan rezeki semuanya adalah perancangan atas kehendak Allah.
Sementara itu, Ahmad Hamid pula berpendapat beranak ramai itu dalam konteks masyarakat Melayu penting demi mengelak menjadi golongan minoriti di tanah air sendiri sekaligus menjamin kuasa politik Melayu pada masa depan.
Namun, Miko Miko berpendapat perancangan keluarga mengikut kemampuan diri masing-maasing amat perlu supaya kualiti anak-anak yang dilahirkan adalah terjamin.
“Nak besarkan anak, didik jadi orang berjaya dan berguna bukan mudah. Kos tanggungan tinggi. Setiap anak nak dibesarkan, disara belajar mahu menelan belanja beratus ribu ringgit,” ujarnya.
Hal sama juga ditegaskan Hairyjehan Borhanudin yang mengingatkan pentingnya setiap anak yang dilahirkan dididik seimbang ilmu dunia dan akhirat agar tidak terjebak dalam pelbagai masalah sosial.
“Kena faham kualiti dan kuantiti. Ramai anak pun kalau merempit, bohsia, dadah masalah juga,” katanya.
Dalam masa sama, tanggapan bahawa anak yang ramai akan dapat menyalurkan wang bulanan pada usia tua juga harus dikikis.
Seorang warganet pula berkongsikan pengalamannya mengenai seorang pakcik yang berpendirian beranak ramai adalah bagus.
“Kalau ada 10 anak. Satu orang bagi RM100, sudah ada RM1,000. Kalau mereka bagi RM200 seorang. Satu bulan goyang kaki ada RM2,000 dah.
“Tak salah pak cik itu fikir macam tu tapi kalau anak tak mampu bagi malah mintak dari pak cik, itu yang masalah.
“Anak-anak akan ada tanggungan hidup mereka sendiri. Bukan boleh diharap bagi mak bapak duit tiap bulan,” katanya.
Sehubungan itu, rata-rata menyifatkan golongan B40 perlu menyedari kemampuan ekonomi masing-masing untuk melakukan perancangan keluarga dan bertanggungjawab dengan setiap anak yang dilahirkan.
Abdrm Asyraf menulis, “Ya, semua dalam perancangan Allah tapi kalau malas bertanggungjawab, susah jugak” manakala Jack Mamba pula menegaskan, “Kalau tahu kita hidup susah, takkan setiap tahun nak buat anak? Kos jaga anak tu tinggi.”
Baca juga Beranak ramai tapi menyusahkan masyarakat, B40 yang biawak hidup dinasihat buat ‘family planning’
Baca juga Cawangan nasi ayam dan itik Sungai Ara tiada sijil halal sebenarnya