Malaysia Dateline

Babi jadi ’emas’ – Kadar inflasi di negara ini tertinggi dalam dua tahun

Lonjakan harga daging babi di China yang dianggap ’emas’ menyaksikan kadar inflasi pengguna di negara itu mencecah paras tertinggi dalam tempoh dua tahun pada September.

Serentak itu juga, kemarau ekstrem dan taburan hujan yang rendah selama beberapa minggu mendorong kepada peningkatan harga sayur-sayuran segar sebanyak 6.5 peratus tahun ini.

Wartawan veteran, Zainal Rashid Ahmad menerusi saluran ZRA Strim di YouTube kelmarin berkata, isu paling besar didebatkan di China iaitu sebuah negara komunis kapitalis pada masa ini adalah mengenai harga babi yang meningkat 36 peratus.

“Timbul kontroversi yang paling besar di China sekarang ialah tauke-tauke babi di China tidak mahu menyembelih babi.

“Mereka menjangkakan harga babi akan meningkat lebih tinggi pada bulan-bulan akan datang.

“Babi dijangka menghasilkan keuntungan berganda pada awal tahun depan kesan kemarau luar biasa yang melanda China 40 darjah Celsius,” jelasnya.

Beliau berpendapat harga babi yang merupakan makanan ruji di republik tersebut mungkin terus meningkat sehingga 100 peratus pada hujung tahun ini dan menjelang awal tahun depan ekoran keengganan penternak menyembelih dan menjual daging itu.

“Di Malaysia – negara konservatif, kita bercakap harga siling ayam RM9.40, orang jual RM12 tetapi di sebuah negara komunis yang kononnya ekonomi dikawal dan diselia tetapi China sekarang telah menjadi negara liberalisasi ekonomi iaitu kuasa pasaran yang menentukan dan hari ini babi menjadi ’emas’ di China,” ujarnya.

Sementara itu, AFP melaporkan pihak berkuasa China sejak beberapa minggu lalu berulang kali campur tangan dalam rizab daging babi kerana harga yang melambung tinggi sekali gus mencetuskan kebimbangan inflasi.

Sejak Julai lalu dilaporkan China mempertimbangkan untuk menggunakan rizab daging babi dalam usaha mengekang kenaikan kos berterusan.

Republik itu menyimpan bekalan daging babi beku di dalam gudang dan hanya mengeluarkannya bagi menstabilkan harga dalam pasaran, terutama pada musim perayaan.

Harga daging babi di negara ekonomi kedua terbesar dunia itu menjadi semakin tidak menentu selepas penularan wabak selsema babi yang menyebabkan inflasi pengguna melonjak.

Baca juga Buang gaya hidup, bersedia ekonomi menjunam teruk, wartawan veteran ini saran simpan RM400 mulai sekarang

Baca juga Makan lobak untuk elakkan rabun sebenarnya mitos, hanyalah kempen masa perang dunia kedua