Baby Shima teruk dikecam tak sensitif lepas muat naik video “I stand with Israel”, ini respon tuan badan

Oleh KIM SYAZIE

Di kala situasi kritikal terus dihadapi penduduk di wilayah Gaza, individu-individu berpengaruh di dalam negara terus menyatakan pendirian tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin.

Pelbagai cara digunakan rakyat Malaysia untuk menyebarkan isu Palestin bagi mengelakkan hantaran mereka disekat pengendali aplikasi laman sosial yang ternyata lebih memihak kepada Israel.

Bagaimanapun, niat tidak menghalalkan cara. Tersilap langkah boleh mengundang kecaman.

Penyanyi dangdut Baby Shima meraih perhatian sejak semalam apabila memuat naik hantaran di Instagram dengan mengenakan filter bendera Israel pada bahagian pipinya.

Seperti dijangka, video yang dikongsikan pemilik nama Nor Ashima Ramli itu mendapat kecaman segelintir pihak kerana didakwa telah mengelirukan netizen di media sosial.

Malah, hantaran foto yang memaparkan bendera Israel turut ditegur penyanyi dan pelakon Janna Nick yang merasakan dia tidak sepatutnya menjadikan ia satu bahan jenaka. Difahamkan, hantaran foto itu telah pun dipadam oleh Instagram.

Sementara itu, ada dalam kalangan pengikut memahami maksud yang ingin disampaikan tetapi ada juga yang tidak bersetuju kerana menganggap tindakan dibuat dirasakan tidak kena.

Selepas diasak dengan kecaman, pelantun lagu Lalai itu kemudian menjelaskan biarpun video itu menggunakan logo tersebut namun mesej yang hendak disampaikan adalah mengutuk kekejaman Israel terhadap Palestin.

“Tahap intelligent seseorang berbeza-beza begitu juga tahap pemahaman seseorang individu tidak sama. Apa yang saya kongsikan memang dari POV yang berbeza.

“Namun mesejnya tetap sama mengutuk tindakan Israel. Takkan lah saya nak please semua orang untuk semua yang saya kongsikan di media sosial.

“Pandai-pandailah semak mesej tu dulu.. kalau perlu Google Translate dahulu,” katanya.

Isu berkaitan konflik Palestin-Israel ini amat sensitif sebenarnya. Lebih wajar kita berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu

Baca juga: Tak habis dengan cerita hantu! Peniaga R&R Perasing kesal dengan kisah seram pemandu lori