Malaysia Dateline

Babydash sasar kuasai 20 peratus darpada RM120 juta pasaran bayi dalam talian

– Babydash, kedai dalam talian terbesar Malaysia yang menjual pelbagai jenis keperluan harian untuk bayi, menyasarkan untuk menguasai 20 peratus daripada anggaran RM120 juta pasaran e-dagang keperluan bayi dalam negara dalam tempoh tujuh tahun akan datang.

Pengasas Babydash Sdn Bhd, Lavinie Thiruchelvam, berkata keyakinan dan unjuran beliau itu adalah berasaskan permintaan tinggi dalam kalangan ibu di Malaysia untuk membeli-belah secara dalam talian, yang telah menyumbang kepada peningkatan perniagaan e-dagang negara.

Beliau memberitahu Bernama bahawa 500,000 bayi dilahirkan setiap tahun di Malaysia, selain Badydash turut memenuhi keperluan bayi dan kanak-kanak berumur 0 hingga 5 tahun, sekali gus menjadikan saiz pasaran seramai 2.5 juta kanak-kanak bagi produk kedai dalam talian.

“Visi kami adalah untuk menguasai sepenuhnya pasaran Malaysia,” kata Lavine dari Babydash, yang dipilih sebagai kedai bayi dalam talian nombor satu di Malaysia pada November tahun lepas.

Babydash, yang menjual lebih daripada 6,200 produk bayi, menyasarkan untuk menjual 10,000 produk pada tahun hadapan.

Setelah berjaya mengharungi cabaran dalam memulakan perniagaan e-dagang, beliau berkata keadaan sudah berubah dan ‘kini jenama besar mencari kami untuk dipaparkan di Babydash’.

Lavine berkata platform yang memberikan ‘kami capaian terbaik ialah Google, Facebook dan Instagram’.

“Kami mengekalkan kehadiran kami dalam beberapa saluran pemasaran dalam talian, dan kami terus mencergaskan kempen kami supaya selaras dengan perubahan berterusan.”

Selain perkongsian strategik dengan syarikat utama pemasaran media sosial serta pasaran dalam talian tempatan, beliau berkata syarikat itu yang kini beroperasi di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, merancang memperluas pasaran dengan pelancaran di Singapura.

“Bagaimanapun, perkhidmatan pelanggan dan pengalaman pelanggan menjadi keutamaan nombor satu, dan kami berusaha untuk memastikan perkhidmatan terbaik, yang benar-benar membezakan kami.”

“Ini penting kerana kami bukan perniagaan bersemuka dengan pelanggan, tidak seperti perniagaan batu bata dan mortar, yang bermakna kami perlu dapat menjangkau para pelanggan kami melalui saluran komunikasi sebanyak mungkin dan untuk membuat mereka merasa sangat dialu-alukan apabila menyertai komuniti Babydash kami,” katanya.

Ditanya mengenai ukuran pertumbuhan syarikat sejak beroperasi, beliau berkata ‘pengukur yang baik ialah kira-kira 130,000 ahli di Facebook’ dengan pengunjung mencecah 700,000 di portalnya pada bulan tertentu.

“Kami membangunkan kepercayaan, kesetiaan dan persahabatan dengan pelanggan sejak hari pertama, mereka terus-menerus datang kepada kami untuk mendapatkan nasihat dan membantu apa yang mereka perlukan.

“Kami melengkapkan diri dengan pengetahuan dan penyelesaian produk kepada masalah bayi/ibu yang kebiasaannya dapat membantu kebanyakan ibu bapa yang datang meminta bantuan (dan) ini dengan jelas membezakan kami dengan kedai dalam talian yang lain kerana kami telah menjadi penasihat yang dipercayai,” katanya.

“Ini sejajar dengan matlamat kami untuk menjadi kedai bayi nombor satu di negara ini,” katanya.

– BERNAMA