
Badan Peguam Malaysia alu-alukan penubuhan RCI siasat dakwaan salahlaku hakim
Badan Peguam Malaysia memuji keputusan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan mengenai campurtangan dan salahlaku hakim yang dibuat oleh seorang hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer.
Presidennya, George Varughese berkata badan peguam itu telah berulang kali menggesa penubuhan RCI sejak Ogos 2018, apabila dakwaan itu mula dibangkitkan semasa pembentangan oleh Hakim Hamid Sultan pada Persidangan Undang-undang Antarabangsa Malaysia 2018.
“Kami mengulangi gesaan kepada kerajaan untuk memperluaskan terma rujukan RCI untuk merangkumi cadangan holistik bagi pembaharuan menyeluruh dan komprehensif untuk penambahbaikan dan mengukuhkan institusi Badan Kehakiman, selain menangani semua dakwaan mengenai salah laku kehakiman.
“RCI ini memberikan peluang yang signifikan dan penting yang perlu direbut oleh kerajaan.
Kami yakin bahawa anggota-anggota RCI, yang belum diumumkan, akan melaksanakan tugas yang sangat penting itu dengan dedikasi dan integriti paling tinggi dalam usaha sedaya upaya untuk mencari kebenaran dan cadangan bagi pembaharuan, “kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi
Menurut Varughese, B adan Peguam Malaysia sedar bahawa kebebasan dan integriti badan kehakiman adalah perlu dan sangat penting untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan menanamkan keyakinan orang ramai, dan prinsip ini tidak boleh dibenarkan tercemar.
Oleh itu, kami menyeru semua pihak untuk menghormati dan menyokong RCI dan mandat besar yang diamanahkan kepadanya dengan mengelak daripada membuat spekulasi atau memberi komen buruk terhadap dakwaan yang dibuat oleh Hakim Hamid Sultan, sehingga siasatan oleh RCI selesai dan hasil siasatan diumumkan,” katanya sambil menambah bahawa Badan Peguam Malaysia bersedia untuk membantu RCI.