Malaysia Dateline

Bagai Mat Jenin, Pas dicabar namakan calon MB Selangor

Pas dicabar untuk menamakan calon Menteri Besar Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) susulan hasrat parti itu untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri tersebut.

Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, hasrat Pas itu bersifat angan-angan Mat Jenin.

Hal ini memandangkan, Pas dan Muafakat Nasional (MN) hanya mempunyai enam daripada 56 kerusi sahaja di dalam Dewan Negeri Selangor selain berhadapan dengan tekanan politik daripada Perikatan Nasional (PN) yang diterajui PPBM.

“Saya turut ingin mencabar Pas, MN dan PN supaya menamakan calon Menteri Besar Selangor dalam PRU-15 akan datang sebagai menunjukkan kesungguhan dan kesepakatan gabungan politik MN serta PN di Selangor,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, pihaknya menyeru agar semua jentera Pas Selangor khususnya barisan pemuda parti itu agar dapat memberi sokongan penuh dalam menjayakan misi bagi memenangkan MN dan PN di negeri itu.

Mengulas lanjut, Wan Anwar menegaskan kemenangan lebih besar Pakatan Harapan (PH) di Selangor pada PRU-14 adalah hasil daripada kesepaduan utuh parti-parti komponen dan juga kempen menolak perkauman dan anti radikal agama sempit yang jelas diterima oleh rakyat negeri itu.

Beliau juga menambah sokongan rakyat kepada kerajaan PH Selangor semakin meningkat berikutan keberkesanan kerajaan negeri menyelesaikan isu-isu domestik termasuk isu bekalan air dan perobohan kilang haram di samping kejayaan menangani kebajikan rakyat dalam menghadapi pandemik Covid-19.

“Pas sendiri harus menginsafi bahawa rakyat Selangor jelas kecewa apabila mereka telah membelakangkan Pakatan Rakyat (PR) dan menjadi punca perpecahan PR.

“Rentetan daripada itu, rakyat Selangor telah menzahirkan tindakan dengan menghukum Pas dalam PRU-14 sehingga mereka hanya mampu mempertahankan kerusi DN (Dewan Negeri) Sijangkang sahaja selain beberapa kawasan telah kehilangan wang pertaruhan,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Anwar menasihati Pas agar bercermin diri dan memberikan tumpuan terhadap isu berkaitan Islam yang masih belum terjawab seperti penganjuran ratu cantik, RUU 355 dan kes Allahyarham Adib.

Turut menjadi isu yang perlu Pas beri tumpuan ialah isu majlis perkahwinan di kuil, kartel daging haram dan pertambahan cabutan khas nombor empat digit berbanding sibuk mengganggu kestabilan kerajaan negeri Selangor.