Bagaimana AMANAH boleh kalahkan Pas di Kelantan, Terengganu?

Ahmad Lutfi OthmanWilayah Pantai Timur masih gagal ditembusi Pakatan Harapan pada PRU14. BN kekal di Pahang, dan dua negeri lagi mencatat prestasi cemerlang Pas.

Khususnya di Kelantan dan Terengganu, bukan sahaja semua calon PH kalah tetapi kebanyakan mereka hilang wang pertaruhan, iaitu gagal memperolehi satu perlapan daripada undi keseluruhan.

Pas mendapat mandat besar, dengan penguasaan majoriti dua pertiga kerusi Dun. Kemenangan bermakna tanpa bantuan mana-mana parti lain.

Pada 1990, Pas berkuasa semula di Kelantan dengan kerjasama dan bantuan Tengku Razaleigh Hamzah bersama partinya, Semangat 46. Angkatan Perpaduan Ummah membolot semua kerusi Dun dan Parlimen di Kelantan.

Pada 1999, Terengganu dikuasai Pas di tengah semaraknya gelombang Reformasi, atas nama Barisan Alternatif. Faktor Anwar Ibrahim menjadi pendorong penting. BA menang semua lapan kerusi Parlimen dan 28 daripada 32 Dun.

Hampir semua ramalan atau unjuran badan kajian politik menjangkakan Pas akan kalah teruk di Terengganu dan Kelantan, pada 2018. Namun ternyata dua negeri itu kekal sebagai kubu kuat Pas, sekali gus mengetepikan prediksi awal kajian di lapangan.

BN sendiri selesa dengan kepercayaan akan menang majoriti dua pertiga atas andaian penyokong penbangkang (waktu itu) berpecah dua.

Dalam pilihan raya umum pertama 1959, Pas berjaya menawan kedua-dua negeri itu. Menandakan pengaruh parti Islam itu sedia kukuh dan mengakar sejak enam dasawarsa lalu.

Dalam ucapan perasmian konvensyen Parti Amanah Negara Terengganu dan Kelantan, masing-masing Jumaat dan Sabtu lalu, Presiden, Mohamad Sabu, mengakui kesukaran parti Islam yang baru berusia tiga tahun itu untul bertapak di sana.

Walaupun menerima keahlian baru yang ramai dari Pantai Timur, misalnya untuk Kelantan sahaja, lebih 2,000 orang setiap bulan untuk empat bulan berturut-turut selepas PRU14, Mohamad tetap menyedari kubu kuat Pas itu tidak mudah untuk ditembusi.

Husam mengingatkan, penerimaan masyarakat di sana terhadap AMANAH bergantung rapat kepada prestasi kerajaan persekutuan secara kolektif, terutama kualiti perkhidmatan para menteri dan timbalan menteri daripada AMANAH.

Pengerusi PH Kelantan, yang juga Naib Presiden AMANAH, Husam Musa, mengulangi pendapat awalnya bahawa dalam keadaan parti progresif itu mudah berkembang di Pantai Barat, ia mungkin diterima agak lambat di Pantai Timur.

Oleh kerana misi sukar di kubu-kubu kuat Pas ini lebih terbeban kepada AMANAH, maka barisan kepimpinannya — kini ramai menjadi anggota pentadbiran baik di peringkat pusat arau negeri — perlu turun ke akar umbi bagi menyantuni derita dan keluh-kesah masyarakat di bawah.

Ia selaras dengan rumusan daripada program permukiman AMANAH Nasional baru-baru ini, dan menjawab pelbagai rungutan penyokong yang tidak berpuas hati dengan aktiviti turun padang pasca PRU14, khususnya bagi pemimpin berjawatan tinggi kerajaan.

Dalam suasana banyak pihak mempersoal sejauh mana pengaruh dan kekuatan PH di kalangan masyarakat Melayu, tanggungjawab dan peranan AMANAH menjadi lebih penting dan kritikal.

Kayu ukur kecenderungan majoriti pengundi Melayu sering dikaitkan dengan pola pengundian di Pantai Timur dan juga utara Semenanjung, khususnya Kedah dan Perlis.

Di Kedah, pencapaian Pas boleh dianggap cemerlang dan luar biasa. Secara solo, ia menang 15 kerusi Dun, prestasi terbaik walaupun dibanding dengan prestasi pada era Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor (1999) dan ketika memerintah di bawah menteri besar, Almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak (2008).

Mat Sabu juga menegaskan, sekali dilantik memegang amanah rakyat, sama ada di peringkat nasional, negeri, daerah atau kampung, walaupun atas kedudukan dalam parti, kita bukan lagi berkhidmat untuk ahli dan penyokong sahaja, tetapi memenuhi impian dan harapan semua.

Seperti selalu, beliau turut mengingatkan pengalaman buruk di beberapa negara, apabila gerakan Islam gagal memanfaatkan kemenangan melalui pilihan raya sehingga ditolak rakyat dengan aksi protes jalan raya, ditambah provokasi pihak tertentu, musalnya tentera.

Justeru, usaha menarik dan memenangi hati-minda rakyat, termasuk di wilayah majoriti Melayu ini, perlu digerakkan secara bijaksana, kreatif dan berjejak.

Cabaran besar yang menghimpit kehidupan golongan petani, penoreh, peneroka dan nelayan mesti ditangani dengan dasar dan program paktis. Sekurang-kurangnya harapan tinggi rakyat untuk melihat agenda perubahan tertunai walaupun bukan secara keseluruhan.

Mutakhir ini kita dikejutkan dengan limpahan keresahan dan kegusaran komuniti penoreh ekoran kejatuhan harga getah. Ia tidak boleh dipandang remeh.

Bagi sebahagian masyarakat, khususnya urban dan terpelajar, mereka mungkin boleh berpuas hati dengan pembaharuan struktural kenegaraan, tetapi golongan majoriti mahukan perubahan terutama untuk meringankan bebanan kos hidup.

Potfolio Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Agama misalnya, yang disandang pemimpin kanan AMANAH, merupakan peluang terbaik mendekati kerencaman pengundi Melayu. Begitu juga dengan agensi berkaitan sektor pertanian, seperti LKIM, LPP dan Fama, yang dipengerusikan aktivis dan individu yang dekat dengan AMANAH.

Situasi itu juga merupakan cabaran getir buat AMANAH mengembangkan pengaruhnya di kalangan penyokong Pas, berbanding tekanan lebih mudah sekutunya, Bersatu berdepan khalayak Umno. Apatah lagi, Pas memegang kuasa di kedua-dua negeri tersebut; bermakna ada kelebihan sebagai pemerintah.

Potensi AMANAH juga bergantung kepada konteks pemahaman beragama, daripada masyarakat konservatif kepada yang lebih progresif dan dinamik.

Masalahnya, pengertian progresif itu sendiri menimbulkan tafsiran berbeda, yang ada kalanya menjurus kepada konotasi negatif.

Ada pihak mengaitkan pertembungan AMANAH-Pas mengulangi kancah perdebatan silam Kaum Muda dan Kaum Tua, yang akhirnya mengakibatkan aliran sederhana-progresif tewas.

Namun demikian, kepada masyarakat Melayu tradisional, seperti di sebalik Banjaran Titiwangsa dan utara Semenanjung, ada isu-isu yang lebih sensitif dan dekat di hati mereka.

Berkaitan pemahaman agama, sensitiviti dan sentimen kaum, hal ketuanan Melayu dan seumpamanya. Justeru isu-isu yang nampak mudah ditangani di Pantai Barat — seperti penguasaan DAP, liberalisme, polemik LGBT, terlalu bertoleransi dengan bukan Islam, dana buat sekolah bukan aliran kebangsaan, pemegang jawatan strategik oleh bukan Melayu — menjadi agak rumit untuk difahami kelompok teramai di wilayah berbeda.

Biarpun AMANAH memperkenal jatidiri sebagai parti Islam progresif, inklusif dan kontemporari, penyokong Pas masih mengejeknya dengan label negatif, seperti kuda tunggangan DAP, dan barua Mahathir.

Malah, tinjauan rambang di Kelantan dan Terengganu menunjukkan imej perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad masih negatif dan diragui kejujurannya, merujuk rekod diskriminasi ke atas dua negeri semasa era pertama Mahathir dahulu, 1981-2003.

Ada seorang teman menegur pendekatan Menteri Agama, Dr Mujahid Yusof Rawa, yang sering disalah tanggap: “Mujahid adalah antara menteri paling penting untuk menarik sokongan parti, tetapi penekanannya dalam isu tertentu selalu disalah faham. Dalam politik keadaan ini agak berbahaya, menongkah arus terutama jika tak kuat stamina boleh melemaskan. Ia mungkin sesuai untuk orang akademik atau pemikir.”

AMANAH juga dilihat gagal menampilkan lebih ramai golongan asatizah atau agamawan. Personaliti seperti Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan bintang baru, Ustaz Nik Omar Nik Aziz seperti terlindung.

Gugatan terhadap keupayaan AMANAH itu bukan bermakna peluangnya malap, malah bercahaya, jika cabaran itu digarap dengan bijaksana.

Usah sama sekali pandang rendah komitmen dan semangat tinggi pendukung Pas di wilayah tradisi mereka itu.

Kaji selidik menunjukkan tekad politik orang Pas cukup berkobar-kobar di kawasan yang menuntut prestasi tinggi AMANAH menjelang PRU15. Tempoh empat tahun setengah ini — Husam memendekkannya kepada tiga tahun sahaja — adalah era kritikal bagi parti Islam yang peduli rakyat itu.