Malaysia Dateline

Bagaimana Bersatu boleh buka ruang untuk menang PRU-15

Cadangan Timbalan Ketua Bersatu Johor Bahru Razrul Anwar Rusli agar partinya kembali bekerjasama dengan PH, bagi melawan Umno dalam Pilihan Raya Negeri Johor adalah satu idea yang baik untuk mempastikan Umno tewas dalam Pilihan Raya Negeri kali ini.

Namun pastinya cadangan ini juga satu cadangan yang akan memberi kesan yang buruk dari sudut reaksi akar umbi penyokong Pakatan Harapan yang masih terluka kesan dari pengkhianatan parti Bersatu pimpinan Tan Seri Mahiaddin Yassin yang bersekongkol dengan Umno pada 2020 untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

Pemimpin Pakatan Harapan sendiri pasti akan berdepan keadaan sukar untuk berdepan reaksi penyokong sekiranya idea ini dilaksanakan.

Idea yang berkesan tidak semestinya dapat dilaksanakan dengan mudah. Apatah lagi ia datang dari kumpulan yang khianat. Ia cukup menjengkelkan walaupun ia strategi yang benar untuk menewaskan Umno.

Jika Bersatu benar benar mahu memastikan kekalahan Umno dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Johor ini, yang tidak akan menimbulkan masalah dalam Pakatan Harapan adalah dengan mengumumkan untuk tidak menghantar seorang calon pun dalam pilihan raya ini dan mengistiharkan menyokong kesemua calon Pakatan Harapan, dan MUDA.

Tindakan ini tidak akan memberi kesan yang buruk kepada Bersatu, bahkan berpotensi memberi kesan yang lebih baik untuk parti itu.

Hal ini kerana, Bersatu berdepan risiko kekalahan besar sebagaimana Melaka, apatah lagi imej Mahiaddin Yassin mula semakin malap kini. Bertanding atau tidak Bersatu hampir mustahil menang dikerusi yang ditandingi.

Penyertaan Bersatu dalam pilihan raya juga akan memberi peluang kemenangan kepada Umno dengan lebih besar. Lihat PRN Melaka, Pakatan Harapan kehilangan penyokong mereka yang beralih kepada Bersatu sehingga menyebabkan Umno yang tidak pun bertambah undi menang dalam pilihan raya terbabit.

Tindakan tidak menghantar calon dan menyokong calon Pakatan Harapan juga sedikit sebanyak mampu membuka lebih ruang kepada perbincangan untuk PRU15 terutamanya jika strategi ini berjaya merangkum kemenangan kepada Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri Johor.

Ini bukan bersifat pengorbanan oleh Bersatu tetapi lebih kepada hukuman diatas pengkhianatan.

————

Penulis adalah Setiausaha Pemuda AMANAH Terengganu.