Malaysia Dateline

Bagaimana dengan khemah besar rakyat?

Banyak berita dan artikel yang memperkatakan mengenai isu khemah besar. Konsep ‘Khemah Besar’ merupakan resolusi yang dicapai di Port Dickson yang melibatkan AMANAH, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada April tahun lalu. Keputusan deklarasi Port Dickson sedang dibincangkan untuk direalisasikan.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu pernah berkata pendekatan ‘Khemah Besar’ yang dianjur Amanah tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada di dalam kerajaan iaitu Umno, Bersatu atau Pas.

Jelasnya juga, Amanah menghormati dan meraikan perbezaan pandangan pelbagai pihak mengenai pendekatan ‘Khemah Besar’ sebagai pendekatan politik Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU15, namun kefahaman tepat perlu sebelum perbincangan diadakan.

Istilah khemah besar telah menjadi konsep terkini dalam politik di Malaysia.

Namun ada juga yang berpandangan bahawa cadangan pembangkang mewujudkan kerjasama politik menerusi konsep ‘Khemah Besar’ bagi berdepan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak akan berjaya tanpa penyertaan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun Pas menolak untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi menghadapi PRU-15 di bawah khemah besar.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui mengetahui agenda Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama di bawah khemah dengan pembangkang.

Idea khemah besar ini mendapat juga perhatian Tun Dr. Mahathir Mohamad kepentingan kerjasama antara parti-p¬arti politik termasuk pembangkang di bawah khemah besar dalam usaha menumbangkan Barisan Nasio¬nal (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun bagi Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ada syaratnya akan menolak cadangan khemah besar itu jika ia diterajui sama ada oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Presi¬den Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Baru-baru ini rasanya Barisan Nasional (BN) telah memperkatakan mengenai khemah besar namun beranggapan ia adalah lumrah dan tidak ada apa yang baharu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata “Jadi tak perlu kita anggap ‘khemah besar’ itu sebagai perkara yang terlalu luar biasa. Pada saya ia suatu kebiasaan, kalau pihak lain sedang cuba formula kemenangan mereka, kita perlu anggap ia sebagai lumrah yang harus kita duga lebih awal,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis iftar tidak berapa lama dahulu.

Saya tertanya-tanya tiada siapa memikirkan mengenai khemah besar rakyat? Semua memikirkan mengenai khemah besar gabungan parti.

Seolah-olah raykat tiada hak dalam menyatakan pendirian mereka dalam soal khemah besar ini.

Rakyat tiada sebarang khemah untuk digabungkan kerana jelata adalah elemen kekal dalam sesebuah negara. Kerajaan boleh berubah macam yang berlaku sekarang sejak Langkah Sheraton sudah tiga kerajaan dibentuk dalam jangka masa dua tahun. Tidak perlu khemah, Bumbung indah Sheraton hasil pakatan parti gabungan PH dan ahli politik berpaling tadah itu mengakibat keadaan tida menentu dalam suasana politik di negara ini.

Semua tahu kesan daripada pandemik dan krisis ekonomi rakyatlah yang menanggungnya. Adakah ahli politik kehilangan pekerjaan mereka atau gaji mereka dipotong?

Tiada pertubuhan kepentingan rakyat yang berani dan terfikir untuk menyuarakannya mengenai khemah besar rakyat? Umno Barisan Nasional atau UBN yang tergesa-gesa mahu mengadakan pilihan raya itu adakah untuk kepentingan rakyatkah? Adakah rakyat mendesak dan terdesak mahu mengadakan pilihan raya dengan kadar segera?

Dalam urusan khemah besar dan mengadakan piihan raya dengan cepat, kita lihat tiada kesabaran dalam menunggu tempoh bilakah sepatutnya pilihan raya diadakan itu menunjukkan rakyat diketepikan. Jelata sekadar penonton atau “spectator”. Seolah-olah penonton perlawanan bola speak, berteriak dan memekik pasukan yang mereka sokong.
Keadaan yang seolah-olah sama dengan perlawanan politik, jelata atau rakyat biasa hanya sekadar tukang sorak parti-parti politik ini. Kebanyakan rakyat sudah jenoh dengan lakonan-lakonan politik di mana isu kepentingan rakyat berhubungan kenaikan harga makanan, jaminan makanan, kenaikan kos bahan mentah, pengganguran masih perlu disantuni daripada memikirkan hal kuasa dan pilihan raya.

Oleh itu bagaimana dengan khemah besar rakyat, siapa yang sepatut berada di bawahnya? Bukan rakyat yang berada di bawah khemah besar parti-parti politik tetapi sebaliknya – parti-parti harus bernaung di bawah khemah besar rakyat!

Sepatutnya deria rasa wujud rakyat dalam hati harus bernaung di bawah khemah besar rakyat bukannya nafsu berkuasa yang bertapak di dalam hati pemimpin politik!

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)