Malaysia Dateline

Bagaimana ekonomi rakyat dapat dibela kalau perbahasan di Parlimen mati?

Di sebalik pergerakan angka ahli-ahli Parlimen yang ligat bergerak sejak seminggu lepas, walaupun mungkin ada kebarangkalian sesuatu berlaku di hujung Syawal ini, kita sebagai rakyat harus tetap dengan prinsip bahawa apa parti pemerintah pun, kita mahu negara dan bangsa melalui tempoh sukar selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dengan lebih baik.

Rakyat Malaysia mahu ekonomi yang lebih makmur, pembelaan kebajikan rakyat yang lebih terjamin dan adanya perubahan atau reformasi sistem yang lebih mendasar.

Apa antara masalah yang kita hadapi sekarang? Bukan kita maksudnya diri kita sahaja tetapi kita dalam konteks lebih luas, dalam pemerhatian sekeliling.

Pertama, makin ramai kalangan kita yang menganggur tidak bekerja – pengangguran meningkat 17.1 peratus mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia.

Kedua, ekonomi negara bakal menyusut dengan pendapatan rakyat semakin berkurang. Bank Dunia mensasarkan untuk tahun ini ekonomi kita menguncup 0.1 peratus (negatif) manakala maklumat perangkaan menunjukan seramai 610,000 orang tiada pekerjaan dan hilang sumber pendapatan.

Ketiga, beban sara hidup makin meningkat. Harga bahan mentah makanan harian naik mendadak dan berulang kali naik sehingga ke sekali ganda harga jual.

Keempat, dasar pentadbiran yang dilaksanakan pula khususnya dalam ancaman Covid-19 ini, nampak jelas ada kekurangan dan masalah dalam pelaksanaan.

Malangnya, bahas tidak boleh, kritik secara rasmi tidak boleh. Kalau pun ada rungutan kecil suara rakyat berbunyi di media sosial, kalau sekadar ciapan Twitter yang hambar atau hantaran Facebook yang terpencil, tidak didengar.

Wakil rakyat yang menjunjung amanah, yang mendesak untuk bahas pelaksanaan dasar dan kelulusan belanjawan, pun tertangguh-tangguh.

Walhal penyelesaian untuk masalah rakyat ini harus dipercepat. Lagi lambat wakil kita berbahas, lagi berlarutan masalah yang kita hadapi, malah mungkin tidak diperbetulkan pun.

Kecuali kalau suara rakyat itu cukup besar, dengan ratusan retweet atau shared, sehingga berhari-hari, baru pihak berkuasa buka mata. Ini jelas terbukti contohnya dalam isu moratorium hutang bank tempoh hari. Pemerintah terpaksa respon kepada rungutan ribuan warganet

Walhal, kalau Dewan Rakyat dibuka untuk berbahas lebih awal, pelaksanaan dasar boleh diulas awal, dibaiki cepat dan dasar yang lompong boleh diisi dengan dasar baharu yang lebih melengkapi.

Kadang-kadang kita pandang ringan atau tidak nampak akan kekuatan suara rakyat yang diwakili oleh wakil rakyat itu sebenarnya. Ketumbukan seorang ahli Parlimen sebenarnya jauh lebih berganda daripada ratusan retweet di Twitter atau shared post di Facebook kerana seorang ahli Parlimen mewakili suara jauh lebih banyak daripada 10,000 orang pengundi.

Contohnya, YB Fahmi Fadzil dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebenarnya bukan mewakili dirinya tetapi mewakili ketumbukan lebih 70,000 pengundi dan ratusan ribu rakyat yang tinggal di Parlimen Lembah Pantai.

Oleh itu, jika ribuan RT dan ratusan hantaran FB boleh mengubah satu dasar kerajaan, bayangkan kekuatan seorang ahli Parlimen yang membawa ketumbukan raksasa sebegini.

Seorang ahli Parlimen dengan berbahas di Parlimen, boleh memberi tekanan yang kuat kepada pentadbiran sekaligus membela nasib rakyat dengan cepat dalam keadaan ekonomi dan masyarakat yang belum pulih sepenuhnya.

Di sini datang peri pentingnya perbahasan sidang Dewan Rakyat itu dicepatkan dan dipanjangkan tempohnya. Kalau diteladani amalan demokrasi negara lain, Britain misalnya, UK Parliament masih aktif berbahas, dengan sesi soal jawab dengan Perdana Menteri, bukan dengan melewatkan perbahasan Dewan Rakyat sehingga berbulan-bulan.

Tindakan melewatkan perbahasan Dewan Rakyat juga bermaksud melewatkan penambahbaikan dasar ekonomi dan kebajikan kepada rakyat khususnya berkait perihal pengurusan Covid-19.

Ini juga bermaksud membiarkan perbelanjaan ratusan ribu juta ringgit oleh pentadbiran kerajaan berlaku tanpa keabsahan atau kelulusan Dewan Rakyat, yang mana sebenarnya wajib mengikut undang-undang negara.

Jadi, sebab itu penting untuk wakil-wakil rakyat yang mewakili 37 juta rakyat Malaysia ini (atau jutaan Retweet di Twitter dan jutaan shared posting di Facebook ini) supaya dapat berbahas di Parlimen.

Manfaatnya, kebajikan rakyat dapat diperbaiki secepat mungkin, dan rakyat yang terkesan teruk dengan PKP ini dapat terbela dengan pantas dan berkesan, efisien dan efektif.

Apapun yang berlaku akhir Syawal ini, semoga perubahan mendasar dan reformasi dapat dilaksanakan dengan azam padu dengan kepimpinan yang lebih bertenaga.

Nasib rakyat yang memerlukan jelas dibela, pendapatan rakyat kembali pulih, pentadbiran berjalan dengan amanah, kerajaan ditadbir dengan demokratik, integriti dan semangat islah yang berkobar-kobar.