Bagaimana jika orang Arab desak Eropah iktiraf sekolah vernakular?

Bagaimana jika orang Arab desak Eropah iktiraf sekolah vernakular?

Sejak awal lagi saya berpandangan sistem kuota berasaskan bangsa ini mengarut dan tidak boleh digunapakai lagi dalam Malaysia moden.

Biar anak-anak Malaysia mendapat pendidikan yang sama rata – sama peluang untuk bersaing. Kelak dapat sama membangun negara tanpa sebarang perbezaan titik mula.

Anak-anak Malaysia semua berkongsi kurikulum pendidikan yang sama. Maka, seharusnya kita sama-sama berkongsi idea bagaimana menyatukan anak-anak berbilang kaum di bawah satu sistem pendidikan yang sama. Baik sistem itu, baiklah anak-anak kita kelak.

Marah orang Melayu apabila dengar kuota hendak dimansuhkan kerana ‘istimewa’ dan ‘tongkat’ itu hilang. Hilang sistem kuota maka tersenyum panjanglah kaum selain bumiputera, kerana tiada lagi layanan istimewa tertentu.

Tidak lagi terasa seperti rakyat kelas kedua kerana mendapat ‘full access’ sebagaimana bumiputera. Tapi, bawa-bawalah mansuh sekolah vernakular. Pakai sistem pendidikan dan kurikulum kebangsaan yang bahasa pengantarnya dalam bahasa Melayu. Tak apa, demi anak-anak kita.

Biar kita sama-sama geram, orang Melayu hilang kuota dalam pendidikan, kaum lain hilang sekolah vernakular. Kita sekolah sama-sama, belajar dalam kelas yang sama dan Bahasa yang sama.

Eh? Macam mana nak perkasa Bahasa kami? Tak apa, jadikan itu sebagai tanggungjawab peribadi dan keluarga untuk kekal berbahasa Cina/Tamil di rumah, bersama ahli keluarga.

Tak cukup? Boleh hantar ke kelas tambahan. Kekalkan dalam ruang lingkup peribadi. Tak perlu nak sertakan sekali dalam kurikulum kebangsaan.

Cukuplah Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan dan belajar Bahasa Inggeris sebagai lingua franca. Titik.

Eh? Marah? Jangan marah. Cuba bagi tahu, negara mana bangsa minoriti boleh tekan cukup-cukup mahu sekolah vernakular? Mahu dana kerajaan? Mahu kurikulum import negara luar diiktiraf?

Ada tak? Ke kaduk dah naik junjung? Bagi orang Melayu, yang begitu tolak ansur ini. Apa yang berlaku sekarang ni dah melampau.

Buanglah mindset yang masih mahu berkiblatkan negara nenek-moyang. Sedarlah sudah pun menjadi rakyat Malaysia, yang tanahnya berakarkan budaya Melayu-Islam dan berbahasa Melayu.

Kamu melampau, mahu cabut akar tersebut, pada masa yang sama memaksa budaya lain menggantikan akar tersebut. Tak sedar dek untung.

“Hafiz, kamu Melayu, memanglah bias terhadap budaya Melayu, Islam dan bahasa Melayu. Cuba kamu Cina, mesti pertahankan budaya kamu juga kan?

“Iya, benar, tetapi pertahan secara adil.

Sebagai perbandingan, andai katalah, refugee arab di negara Eropah semakin ramai dan akhirnya mampu mencecah 10-20% populasi sebahagian di negara-negara Eropah diterima menjadi rakyat.

Rasanyalah kan, adil tak, sebagai bangsa minoriti. Saya mahu negara Eropah tersebut iktiraf sekolah vernakular, dan saya mahu kerajaan iktiraf kurikulum negara Arab diguna-pakai?

Saya mahu peruntukan kerajaan kepada sekolah-sekolah vernakular Arab. Saya mahu Bahasa Arab diiktiraf sebagai bahasa rasmi setaraf Bahasa Inggeris.

Mengarut dan melampau kan? Ya, itulah sudut pandang bumiputera terhadap bangsa minoriti yang menuntut macam-macam dari sudut pendidikan dan bahasa.

Sebagai bangsa pendatang, seperti kes Arab tadi sebagai perbandingan; saya hendaklah menghormati negara yang majoritinya Kristian, berbahasa Inggeris dan nilai-nilai budaya yang diterima disana. Bukannya suka-suka naik kepala.

Cuba fikir baik-baik, sebelum kamu begitu ekstrem menuntut-paksa macam-macam. Apakah orang Melayu mengancam kamu? Kamu boleh merayakan hari-hari kebesaran dan perayaan kaum, siap jadi cuti umum lagi.

Adakah kamu tak dibenar mengamalkan budaya nenek moyang kamu sehingga terpaksa sorok-sorok, bimbang diapa-apakan? Apakah kamu bertutur bahasa kamu diancam akan dipenggal leher?

Apakah kamu amalkan agama kamu lalu dikenakan kem konsentrasi sebagaimana umat Islam kena di China? Apakah kamu tidak boleh berniaga dan setiap keuntungan kamu diragut oleh orang melayu?

Apakah dengan nikmat kamu nikmati hari ini, merasakan kamu ditindas teruk oleh orang-orang Melayu?Kalaulah orang Melayu ini tidak berhati perut dan tidak bertolak ansur, jangankan hari ini.

Awal-awal sebelum merdeka lagi para pemimpin Melayu pasti bermati-matian nak hantar kamu semua balik ke negara asal. Syukur.

Kembali ke isu asal, kalau kita mahu pendidikan menjadi ruang sama rata, tiada kuota, tiada penyisihan kaum.

Ayuh! Kita gadaikan semua yang kita pertahankan, satukan sahaja anak-anak kita di bawah kurikulum pendidikan kebangsaan.

Kiasu akan tetap pertahan, sekolah vernakular bukan satu kesalahan. Benar. Teruskan saja sekolah swasta vernakular, tetapi hapuskan sekolah jenis kebangsaan.

Tapi apa pun, untuk kelulusan dan sijil meneruskan pengajian peringkat tertier hendaklah yang datang dari sistem pendidikan kebangsaan sahaja diterima; semisal UEC tidak diiktiraf sama sekali.

Saya percaya, kalau ini berlaku. Tiada isu peruntukan SJK dapat banyak ini, SK dan SMK dapat banyak itu. Semua dapat peruntukan yang sama. Sekolah pun dah sama-sama, bahasa pun dah sama.

Bersaing pun diatas pentas yang rata. Kemudian tiada dah isu, kuota masuk universiti dan kuota biasiswa. Anak-anak kita diukur secara sama rata hasil pendidikan yang sepentas.

Akan datang, tiadalah isu ‘bumiputera only‘, ‘ mandarin speaker preferred’ etc sebagai smoke screen untuk ambil bangsa-bangsa tertentu untuk meneruskan pengajian atau permohonan kerja.

Maka, kelak kalau betul ada tulis ‘mandarin speaker required’, maksudnya company tersebut betul-betul memerlukan mandarin speaker yang nak directly deal dengan pelanggan Chinese China misalnya.

Bukan disebabkan mahu ambil bangsa tertentu sahaja berkerja sedangkan sebenarnya dari segi real job scope tak memerlukan pun bahasa tersebut.

Tidak ada lagi kebimbangan memecahkan kuota bumiputera untuk sektor tertentu, kerana tempat lain pun tiada smoke screen nak halang kemasukan bumiputera.

Rakyat Malaysia pun, akhirnya lebih selesa menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi (dan Bahasa Inggeris sekiranya diperlukan).

Baik, itu sahaja bebelan saya yang pastinya semua bangsa akan keras kepala tak mahu hilang semua ini.

Orang Melayu mahu kekal kuota, tapi sibuk kempen tutup pendidikan vernakular. Selain bumiputera pula sibuk nak hak sama rata, pecah sistem kuota, tapi pertahan vernakular.

Jomlah kita bermula sama-sama dari bawah. Tak perlu turunkan Dr Maszlee Malik, turunkan ego kamu itu terlebih dahulu.

Tidak perlu rasa ralat kalau terpaksa tinggalkan kurikulum pendidikan negara nenek moyang dan terima kurikulum kebangsaan Malaysia. Setiap negara ada identitinya, janganlah dipijak-pijak.

Selamat berpuasa.