Bagaimana lantai marmar di Masjidilharam kekal sejuk walau cuaca sangat panas?

Oleh KIM SYAZIE

Dengan keadaan cuaca di Arab Saudi yang panas dan kering, ramai tertanya-tanya bagaimana jemaah saban tahun melakukan ibadah haji di Makkah.

Ramai masih belum tahu sebenarnya lantai marmar putih berkilauan yang mengelilingi Kaabah kekal sejuk walaupun pada hari paling panas.

Banyak teori dibuat orang ramai mengenai logik lantai sejuk walhal cuaca amat panas.

Ada yang mendakwa ia kerana pemasangan paip air sejuk tersembunyi di bawah lantai. Tetapi teori tersebut tidak benar sama sekali.

Kami kongsikan penjelasan penuh mengenai lantai marmar ini memetik laporan AFP.

Menurut satu artikel disiarkan Arab News, marmar itu sebenarnya diambil dari Thassos iaitu pulau timur Greece berhampiran Kavala di Laut Aegean.

Ia mempunyai salah satu ciri paling jarang ditemukan dalam batu jenis itu. Putih tulen dan mempunyai pantulan cahaya yang tinggi, marmar Thassos – kadang-kadang dipanggil marmar ‘putih salji’, ia mempunyai salah satu penyerapan haba yang paling rendah berbanding mana-mana marmar.

Batu itu dilombong dari pulau itu sejak zaman purba dan digunakan di seluruh Greece hingga kini.

Arab News yang memetik pembekal marmar India, RMS Marble menyatakan bahawa marmar ini berharga sekurang-kurangnya antara AS$250 (kira-kira RM1,150) dan AS$400 (RM1,769) untuk setiap meter persegi

Selama beberapa dekad, Arab Saudi mengimport marmar unik ini untuk kegunaan eksklusif di dua masjid suci, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bagi memberikan kelegaan dan mengelakkan suhu permukaan yang tidak selamat. Ia kerana pengunjung masjid dikehendaki masuk tanpa alas kaki.

Menurut Arab News, sekeping marmar itu yang digunakan di Masjidil Haram adalah setebal lima sentimeter dan apa yang menyerlahkannya ialah keupayaannya menyerap lembapan melalui liang halusnya pada waktu malam dan melepaskan lembapan itu pada siang hari, menjadikannya lebih sejuk di bawah suhu tinggi.

Marmar Thassos juga mempunyai tahap pemantulan suria yang tinggi dan kadar kekonduksian haba tinggi berbanding batu kapur, satu lagi batu yang biasa digunakan dalam seni bina Islam.

Oleh itu, ciri unik pada marmar ini membolehkan lantai di Masjidil Haram kekal sejuk walaupun cuaca panas terik yang boleh mencapai antara 50 dan 55 Celsius pada musim panas.

Baca juga: 19 tahun tak hadir mengajar, Kementerian Pendidikan Kuwait terkejut bekas guru terima gaji RM1.5 juta