Malaysia Dateline

Bagaimana memperkasa PdPR dan alternatif tambahan semasa, selepas pandemik?

Isu pembelajaran dalam kalangan murid sekolah kini menjadi isu besar pendidikan negara memandangkan penularan pandemik Covid-19 ketika ini dan kesannnya ke atas pembelajaran.

Sejak lebih setahun lalu apabila pandemik ini mula melanda negara kita dan membawa pelbagai bentuk masalah yang terpaksa dihadapi rakyat khususnya mereka yang berada dalam kelompok B40, selain juga sebahagian dalam kelompok M40 keadaan ini turut memberikan kesan jangka panjang kepada generasi muda kita, mereka yang masih di bangku sekolah dan perlu mendapat pendidikan berkualiti bagi meneruskan kehidupan di masa hadapan.

Proses pembelajaran murid-murid sekolah memang terjejas apabila siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak gelombang pertama setahun lalu menyaksikan penutupan sekolah bagi jangka masa yang panjang.
Dicadangkan sebagai ganti ialah ialah pembelajaran atas talian (PdPR).
Penggunaan kaedah pembelajaran atas talian bukan sahaja menghadapi masalah di negara-negara sedang membangun malah di negara maju sekalipun seperti Amerika Syarikat.

Walaupun mempunyai rangkaian internet yang meluas dan mencakupi hampir kesemua kawasan dalam negara itu namun masih terdapat ruang-ruang atau komuniti-komuniti yang terputus daripada menikmati kemudahan ini.

Antaranya, seperti di negeri Arkansas, 23 peratus daripada isi rumah tidak menerima khidmat internet, sekali gus menjadi masalah kepada pelajar yang mahu belajar atas talian.

Kini pihak berwajib telah memulakan program pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR). Sebagai usaha untuk melibatkan generasi pelajar dalam proses pendidikan, ini merupakan usaha yang baik namun bukanlah satu-satunya penyelesaian kepada masalah yang dihadapi pada ketika ini.

Selain PdPR, kaedah-kaedah lain juga perlu digunakan memandangkan isu dan masalah yang berbangkit mengenai PdPR ini. Isu-isu ini turut membantut objektif di sebalik pengenalan kaedah pembelajaran baru tersebut.

Ramai sudah bersuara tentang keterbatasan usaha yang dilakukan kerajaan bagi meneruskan agenda pendidikan negara menerusi PdPR, kebanyakannya memfokuskan kepada persekitaran pelajar-pelajar itu sendiri.

Tidak dinafikan terdapat keluarga yang berkemampuan, keluarga yang berada di lokasi geografi yang bersesuaian bagi capaian internet serta kemudahan-kemudahan lain, namun hakikatnya masih ramai yang tercicir dari segi akses kepada proses PdPR.

Antara faktor utama ialah masalah ketidakmampuan ibu bapa yang berpendapatan rendah, kedudukan kediaman yang tidak diliputi perkhidmatan jalur lebar bagi capaian internet dan harga pakej data internet yang agak mahal.

Masalah kemampuan membeli gajet telekomunikasi sudah lama dibangkitkan malah sejak sebelum pandemik melanda. Kita biasa mendengar tentang “jurang digital” antara yang berada dengan golongan tidak berada, lebih-lebih lagi bagi mereka di luar bandar.

Kini dengan pengenalan PdPR, isu ini menjadi lebih kritikal yang sekiranya tidak ditangani secara efektif, akan menjadikan jurang itu semakin melebar dan memberi kesan jangka panjang yang buruk kepada negara.

Rungutan para ibu bapa tentang harga gajet adalah sesuatu yang mesti ditangani segera, lebih-lebih lagi setelah PdPR dimulakan dan permintaan bagi alat-alat ini naik mendadak. Disebabkan tiada kawalan pada harga alat-alat ini, harganya melambung tinggi menurut kehendak pasaran yang mana permintaan kini adalah tinggi.

Selain harga alat ialah harga data akses internet daripada syarikat-syarikat telekomunikasi. Pada masa ini walau ia diberikan dalam bentuk pakej-pakej menarik namun disebabkan keperluan penggunaan yang semakin tinggi dalam kalangan pelajar yang rata-rata memilih pakej pra bayar, sudah tentu kos membeli data juga membebankan.

Walaupun sebahagian di luar sana mampu memiliki komputer riba atau tablet misalnya, terdapat pula masalah capaian internet. Masih banyak kawasan di luar bandar-bandar besar masih tidak mempunyai capaian internet ataupun hanya terhad penerimaannya.

Sekadar contoh, walaupun Kota Samarahan tidak jauh dari bandaraya Kuching, masih terdapat kawasan-kawasan di sana yang tidak mendapat capaian internet. Di Sabah, kes Veveonah masih segar dalam ingatan. Bagaimanakah murid-murid sekolah hendak belajar secara atas talian sekiranya prasarana asas untuk tujuan inipun masih belum wujud?

Memandangkan rungutan banyak pihak selain desakan daripada tokoh-tokoh masyarakat akhirnya kerajaan telah bersetuju untuk mengkaji dan melaksanakan pembelajaran menerusi televisyen.

Untuk pengetahuan banyak negara lain turut menggunakan pendekatan ini antaranya Amerika Syarikat – yang walaupun mempunyai prasarana internet yang cukup baik namun terdapat juga kawasan-kawasan terpencil yang kurang capaian internetnya seperti yang disebutkan di atas. Oleh itu televisyen digunakan secara meluas bagi tujuan pendidikan.

Namun, pembelajaran menerusi TV juga menghadapi isu dalam negara kita. November lepas bekas menteri pendidikan, Maslee Malik membangkitkan masalah syarikat yang diberikan projek TV pendidikan yang mengambil tempoh begitu lama untuk menyiapkan 25 daripada 800 siri kandungan yang diperlukan bagi menjayakan program tersebut.

Laporan terbaru menyebut kandungan itu dijangka siap hanya pada penghujung bulan Mac akan datang. Justeru itu, nampaknya kementerian masih lambat dalam menangani alternatif bagi pelajar yang tidak dapat mengikuti Pdpr.

Ringkasnya walaupun usaha Pdpr telah bermula dan kini TV pendidikan juga akan diteruskan, ia dibuat secara ad-hoc seolah-olahnya, apabila dilihat kepada banyaknya masalah yang timbul dan akhirnya para pelajar yang menjadi mangsanya.

Pemerintah masih boleh bertindak mengambil beberapa langkah bersifat polisi dan program bagi memperbaiki keadaan dan mempastikan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar di mana semua pelajar mendapat pendidikan tidak kira di mana mereka berada.

Disebabkan Pdpr sudah menjadi perantara penting semasa pandemik ini, baik alat yang digunakan mahupun kemudahan tambahan seperti data internet, seeloknya ia diklasifikasi sekarang sebagai “barangan keperluan sementara” dan diletakkan di bawah skim kawalan harga.

Ini dikhususkan kepada alat-alat yang perlu untuk PdPR seperti tablet, komputer riba dan juga pakej data pembelajaran. Ia akan menjadi barangan kawalan untuk tempoh tertentu sehingga keadaan kembali pulih pasca pandemik.

Alternatif kepada kawalan harga ialah tindakan kerajaan memberikan insentif kepada pengeluar dan penjual peralatan telekomunikasi berkenaan dalam bentuk pelepasan cukai atau subsidi kepada pembeli yang tergolong dalam kategori B40.

Saranan wakil rakyat seperti Salahuddin Ayub juga boleh dipertimbangkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi dengan menawarkan diskaun dan pakej khas data internet bagi pengunaan pelajar.

Inilah masanya syarikat-syarikat ini memberi balik kepada masyarakat dalam bentuk CSR setelah membuat keuntungan besar pada tahun-tahun yang lepas. Insentif kerajaan kepada syarikat-syarikat tersebut juga penting bagi mengalakkan mereka bertindak sedemikian.

Selain syarikat telekomunikasi syarikat-syarikat besar yang lain juga boleh memainkan peranan bagi menyediakan tabung khas yang dikelola oleh kerajaan bagi pembelian gajet dan data dalam kalangan rakyat yang tidak berkemampuan agar hasrat pembelajaran para pelajar tercapai. Perkara asas mesti ditangani bagi kejayaan misi ini.

Dalam Belanjawan 2021 kerajaan ada menyediakan peruntukan untuk penyediaan alat seperti komputer riba kepada pelajar tetapi dalam bentuk pinjaman. Sebaiknya ia diubah kepada pemberian terus daripada menjadikan ia sebagai pinjaman dimana dalam keadaan ekonomi sekarang rasanya ibu bapa akan terbeban untuk membayar balik pinjaman mendapat komputer tadi.

Pdpr walau baru dimulakan secara meluas di negara kita perlu diperkasakan dengan langkah-langkah yang betul dan mengambilkira suara pemegang taruh seperti para ibu bapa, guru, pelajar dan syarikat telekomunikasi. Dan usaha ini perlu disegerakan.

DR ABDUL LATIFF MOHD IBRAHIM merupakan bekas Prof Madya di Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.