Malaysia Dateline

Bagaimana nasib rakyat pasca pandemik?

Nuansa hari ini, ramai rakyat terbanyak kian terkesan dengan pandemik Covid-19. Baik di desa atau di bandar. Ia seolah-olah suatu perkara yang sering merisaukan peniaga kecil, usahawan muda dan pelbagai platform pekerjaan yang lain.

Namun begitu, tulisan ini akan memberikan satu buah fikiran untuk membuktikan bahawa situasi semasa kita ini sebenarnya kian sukar dan mencabar pasca pandemik ini.

Ekonomi Pasca Pandemik

Pandemik Covid-19 memberikan impak yang sangat besar dalam kehidupan kita. Bukan sahaja kita perlu mengamalkan kebiasaan baharu yang tidak pernah kita lakukan, malah kita sedang menghadapi krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19 ini.

Kita boleh menilai keadaan ini dengan melihat kepada beberapa petunjuk ekonomi sedia ada; di dalam dan luar negara.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku tahun pertama 2020 hanyalah pada angka 0.7% berbanding 4.5% pada suku pertama 2019.

Bukan sekadar itu, Bank Negara Malaysia juga telah mengeluarkan jangkaan pertumbuhan KDNK Malaysia pada tahun 2020 hanyalah di sekitar -2.0% sehingga 0.5% manakala Bank Dunia (World Bank) telah menjangkakan KDNK Malaysia akan menguncup sebanyak -3.1% pada tahun ini dan hanya kembali pulih pada tahun 2021.

Kadar pengangguran pada Mei 2020 telahpun menunjukkan angka 5.3% atau seramai 826,100 rakyat Malaysia yang terjejas. 53.7% daripada angka ini iaitu 443,616 orang baharu sahaja menganggur kurang daripada tiga bulan.

Ini bermakna, pengangguran yang baru sahaja meningkat ini tidak lain tidak bukan adalah akibat pandemik Covid-19. Tidak dinafikan, intervensi pihak kerajaan dalam memperkenalkan program subsidi upah secara tidak langsung dapat mengurangkan sedikit pertambahan pengangguran.

Bank Negara Malaysia baru-baru ini menurunkan Kadar Dasar Semalaman atau Overnight Policy Rate (OPR) dengan izin sebanyak 4 bulan berturut-turut sehingga ke kadar 1.75%.

Ini menunjukkan ekonomi kita sedang dalam keadaan perlahan dan polisi monetari ini diambil untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara tidak langsung.

Pada pendapat saya, impak ekonomi terhadap rakyat ini belum dirasai sepenuhnya. Ini kerana, tempoh moratorium yang masih berbaki ini masih membantu rakyat dalam menempuhi kehidupan yang sukar ini.

Oleh kerana kesan moratorium ini dilihat sangat membantu rakyat, pada hemat saya, saya senada dengan semua sahabat Yang Berhormat dalam mencadangkan untuk dilanjutkan moratorium selama enam bulan lagi pada individu yang hilang pekerjaan terutama dalam kalangan B40 dan M40 serta kepada industri-industri yang terjejas teruk.

Ini kerana, apabila tempoh moratorium tamat, mereka masih tidak mampu untuk membayar hutang yang berbaki. Pihak bank boleh membuat tapisan ketat untuk meluluskan lanjutan moratorium bagi individu dan syarikat yang layak. Perkara ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat dalam tempoh menghadapi pasca pandemik ini.

Mari kita lihat pakej rangsangan ekonomi negara-negara lain. Pakej rangsangan ekonomi fiskal Malaysia memakan 4.4% daripada KDNK sama seperti Indonesia.

Jika kita bandingkan dengan Singapura, pakej rangsangan ekonomi fiskal yang mereka laksanakan sudah mencecah 20% daripada KDNK.

Ini bermaksud kerajaan mereka menyuntik lebih banyak wang untuk rakyat mereka menghadapi kesan ekonomi Covid-19. Kerajaan lain seperti Kanada, Australia dan Amerika Syarikat juga masing-masing membuat suntikan fiskal 9.8%, 8.5% dan 12.2% masing-masing.

Moratorium Pembiayaan Mikro

Saya lihat bahawa pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN dan PENJANA sepertinya tertinggal satu golongan iaitu golongan ‘super-micro’ atau peniaga kecil mikro yang jualannya kurang RM 300,000 setahun dan mempunyai kurang daripada lima pekerja.

Kebanyakan mereka ini tidaklah mempunyai pinjaman dengan bank, simpanan di dalam KWSP, mahu pun pekerja untuk memanfaatkan program subsidi upah. Usaha kerajaan seperti moratorium, kebenaran mengeluarkan simpanan KWSP dan subsidi upah sepertinya tidak dapat dimanfaatkan oleh golongan ini.

Mereka ini kebanyakannya mendapatkan dana dan pembiayaan daripada institusi-institusi pembiayaan mikro seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), iTaajir di bawah UIAM dan CIMB Islamic Bank dengan pembiayaan maksimum RM 10,000, skim Hijrah Selangor yang memanfaatkan 34,366 peserta dengan pembiayaan maksimum RM 50,000 dan lain-lain institusi.

Pembiayaan mikro merupakan salah satu sistem yang sangat bagus bagi membantu golongan miskin dan golongan berpendapatan rendah yang tidak diterima bank atau “unbankable” untuk mendapatkan pembiayaan bagi memulakan kerjaya sebagai usahawan.

Contoh paling mudah di Malaysia ini ialah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebuah entiti kerajaan dalam membantu menghapuskan kemiskinan menggunakan model pembiayaan mikro Grameen Bank dari Bangladesh.

Sehingga tahun 2018, AIM telahpun mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM 21.2 bilion dan melahirkan 378,815 orang Sahabat aktif AIM yang mana 5% daripadanya adalah terdiri daripada Cina dan India manakala 80,000 Sahabat adalah daripada Sabah dan Sarawak. Peratusan bayaran balik adalah 99.1%. Ini adalah angka kejayaan AIM sejak ianya ditubuhkan.

Kontrak pembiayaan AIM menggunakan kontrak “Qard al-Hassan” iaitu hutang tanpa faedah. Semasa pengenalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu pihak AIM pada awalnya hanya menangguhkan bayaran balik pinjaman Sahabat AIM selama tempoh dua minggu sahaja.

Penangguhan ini dilihat terlalu sekejap kerana impak dan kesan pandemik terhadap peniaga kecil dalam kalangan sahabat AIM adalah besar dan memakan masa yang lama.

Lantaran itu, pihak AIM akhirnya memberikan penangguhan bayaran balik mingguan sehingga 7 Jun 2020 tanpa mengenakan sebarang caj atau simpanan wajib.

Dalam mendepani impak pasca pandemik ini, pihak AIM seharusnya memberikan penangguhan bayaran mingguan yang lebih lama seperti tempoh moratorium bank. Ini kerana saya yakin ramai sahabat AIM yang masih terjejas lantaran kesan pasca pandemik ini.

Belum tentu kesemua mereka sudah mampu untuk menjalankan perniagaan seperti biasa kerana kekangan-kekangan lain. Lantaran itu, saya ingin mengemukakan cadangan kepada pihak kerajaan dapat membantu AIM dengan memberikan tempoh moratorium tambahan selama enam bulan untuk mereka yang layak.

Berdasarkan data perbelanjaan bulanan AIM, kos pengurusan bulanan untuk AIM adalah sebanyak RM 15. Untuk merealisasikan pemberian moratorium selama enam bulan ini, saya ingin mencadangkan pihak kerajaan untuk menyuntik RM 90 juta.

Seandainya pihak kerajaan dapat menyuntik dana RM 90 juta ini kepada pihak AIM, sudah pasti mereka boleh memberikan moratorium kepada Sahabat AIM selama enam bulan tambahan yang boleh memberikan manfaat kepada sekurang-kurangnya 378,815 Sahabat AIM.

Nilai RM 90 juta ini tidaklah begitu banyak dan saya yakin kerajaan mampu merealisasikan usaha ini dalam memastikan mereka yang tercicir ini dapat dibantu dengan pelaksanaan moratorium tambahan enam bulan kepada Sahabat AIM.

Saya kira cadangan ini wajar untuk dipertimbangkan untuk memastikan nasib rakyat sentiasa terpelihara dan terjamin.

 

*Penulis merupakan bekas Timbalan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Kubang Pasu.