Bagaimana Nik Jah memulakan kempen ‘Bendera Putih’

Oleh BORHAN AHMAD

Pada jam 11.28 pagi, 28 Jun 2021,  Nik Jah atau nama penuhnya Nik Faizah Nik Othman menaikkan satu posting di Facebook beliau yang menggunakan nama ‘Jah’ meminta pihak yang dalam kesusahan dan terputus bekalan makanan agar menaikkan bendera putih di hadapan rumah mereka.

Pada asalnya ia bertujuan untuk memberitahu komuniti di sekelilingnya sahaja atas sifat beliau sebagai Penyelia Peduli Rakyat Tumpat, tanpa mengetahui ia akan tular dan kini ‘trending’ dalam masyarakat.

Nik Jah adalah aktivis masyarakat dan juga Timbalan Ketua Wanita AMANAH (AWAN) Kelantan itu menasihati mereka yang sedang susah ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh ini agar berbuat demikian bagi membolehkan masyarakat sekeliling tahu dan membantu mereka.

Posting pertama yang dibuat oleh Nik Jah dalam facebook beliau.

“Saya nasihatkan kepada semua yang susah, tiada makanan, naikkan bendera putih di rumah anda. Biar orang sekeliling pakat gi bantu, beri sedikit sebanyak yang termampu. Jangan ambil tindakan yang merugikan diri-sendiri dan keluarga.

“Elakkan stress, berkongsi lah masaalah dengan orang ramai. Tidak perlu merayu. Tidak perlu rasa malu.
Hanya kibar kan kain putih. Semoga ada yang datang membantu,” tulis Jah dalam posting itu.

Astro Awani menerusi temubual bersama Nik Jah berkata, carian dalam Twitter menunjukkan kempen menaikkan bendera putih mungkin telah dimulakan paling awal oleh aktivis wanita itu.

Posting Jah sehingga kini telah dikongsi lebih 20,000 kali oleh para pengguna Facebook dan mendapat tanda suka lebih 3,600.

Nik Jah terkenal dengan usaha beliau membantu masyarakat terutama di kawasan tempat tinggalnya di Tumpat, Kelantan.

Temubual Nik Jah dengan Astro Awani.

“Saya hanya nak sampaikan mesej di sekitar saya sahaja. Saya tak sangka ia viral,” kata Nik Jah ketika ditemubual oleh Astro Awani tentang usaha beliau memulakan kempen Bendera Putih ini.

Menurut Nik Jah, beliau sendiri sebagai aktivis masyarakat rasa tersentuh apabila melihat masyarakat yang mengalami depresi, bunuh diri, suami kurung isteri dan anak-anak, dan ianya memerlukan satu tindakan drastik untuk membantu mereka dengan segera.

“Saya yakin ramai yang depres yang tidak berkongsi maslaah mereka, yang buntu. Cara yang mudah adalah menghantar mesej untuk membolehkan bantuan segera dihantar kepada mereka,” kata beliau.

Nik Jah memilih bendera putih ini kerana ia banyak ada di rumah seperti kain lampin, baju sekolah anak dan sebagainya.

“Jadi kita boleh gunakan apa sahaja yang ada di depan mata kita ini untuk dijadikan satu alat untuk memohon bantuan. Saya fikir kain putih ini mudah untuk didapati di rumah,” katanya.