Malaysia Dateline

Bagaimana P Ramlee mengajar kita melalui Tiga Abdul

Karya yang dihasilkan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee tidak pernah mengecewakan bahkan sarat dengan nilai pengajaran dan mesej yang hendak disampaikan kepada masyarakat ramai. Sehingga ke hari ini, filem karya seniman P. Ramlee masih terus dimainkan di saluran television.

Salah satu filem beliau yang ingin dirungkaikan oleh penulis ialah filem Tiga Abdul. Filem ini telah diterbitkan di Singapura pada tahun 1964 dan dibintangi oleh beliau sendiri serta beberapa seniman dan seniwati yang lain.

Penulis yakin ramai diantara kita yang sudah menonton filem Tiga Abdul dan dalam penulisan ini, penulis ingin mengutarakan beberapa ciri kepimpinan yang ditunjukkan oleh Abdul Wahub dalam merampas semula harta peninggalan ayahanda mereka.

Antara ciri kepimpinan yang ditunjukkan adalah sikap peka. Setiap pemimpin perlu ada kepekaan yang tinggi bagi menyekat kemaraam musuh dan memastikan perancangan musuh tidak berjaya.

Contohnya, Sadiq Segaraga telah menggunakan anak perempuannya,Ghasidah untuk berkahwin dengan Abdul Wabub supaya beliau dapat merampas harta peninggalan ayahanda Abdul Wahub iaitu Ismet Ulam Raja. Abdul Wahub dapat menghidu perancangan Ismet Ulam Raja dan menolak pelawaan tersebut. Maka, perancangan Ismet Ulam Raja menemui kegagalan untuk memujuk Abdul Wahub untuk berkahwin dengan Ghasidah.

Begitu juga dalam kehidupan realiti, seorang pemimpin negara perlu peka dengan keadaan sekeliling yang melibatkan isu dalam dan luar negara supaya kedaulatan negara kita terus terpelihara daripada dikuasai oleh negara asing.

Ciri kepimpinan yang seterusnya ialah kebijaksaan. Kebijaksaan merupakan ciri utama yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin. Contohnya,Abdul Wahub bijak melakukan rundingan dengan Sadiq Segaraga serta penasihatnya Kassim Patalon apabila dia ingin memperisterikan Ghasidah bagi merampas semula sebahagian harta ayahandanya yang dirampas oleh Sadiq Segaraga daripada Abdul Wahab dan Abdul Wahib.

Setelah Sadiq Segaraga melihat kekayaan Abdul Wahub, maka beliau telah kemukakan syarat kepadanya. Namun,syarat tersebut tidak diterima oleh Abdul Wahub kerana dilihat tidak adil dan berat sebelah. Giliran Abdul Wahub pula kemukakan syarat beliau kepada Sadiq Segaraga untuk mecari situasi menang-menang. Tanpa berfikir panjang, Sadiq Segaraga pun bersetuju.

Babak ini telah menunjukkan kepada kita bahawa sebagai seorang pemimpin, kita perlu bijak dalam mengatasi segala masalah dan bijak melakukan rundingan dengan pihak musuh supaya ianya tidak melemahkan kita dan tidak membawa kita terjerat dengan permainan musuh.

Ciri kepimpinan yang terakhir adalah sifat sabar. Sebagai seorang pemimpin, nilai kesabaran sangat penting terutama sekali sekiranya berhadapan dengan sebarang situasi bagi memastikan rancangan yang dirangka berjaya dilaksanakan.

Sebagai contoh,Abdul Wahub terus bersabar menghadapi dugaan dan ujian yang diberikan oleh Sadiq Segaraga seperti tidak dibenarkan makan, tidak dibenarkan tidur bersama isteri dan dipaksa tidur dikandang kuda.

Tujuan Sadiq Segaraga berbuat demikian adalah untuk memastikan Abdul Wahub melanggar syarat perjanjian yang dipersetujui iaitu jika salah seorang daripada mereka marah, maka harta mereka akan dirampas dan akan dijual sebagai hamba.

Malangnya, Abdul Wahub patuh kepada arahan tersebut dengan tenang tanpa berasa marah. Tindakan Abdul Wahub ini telah merunsingkan Sadiq Segaraga dan Kassim Patalon.

Dipendekkan cerita, Sadiq Segaraga telah melanggar syarat perjanjian apabila beliau marah dengan tindakan Abdul Wahub yang membawa orang ramai untuk mengambil semua barangan di rumah Sadiq Segaraga tanpa persetujuan beliau. Akhirnya, Sadiq Segaraga telah dijual sebagai hamba dan segala hartanya dirampas semula oleh Abdul Wahub.

Pengajaran dalam babak ini menunjukkan bahawa nilai kesabaran sangat penting dalam melakukan sesuatu perkara kerana kesabaran merupakan kunci kepada kemenangan dan kejayaan. Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa, sabar itu sebahagian daripada iman.

Kesimpulannya,terdapat banyak lagi pengajaran yang diperoleh daripada filem Tiga Abdul ini seperti tidak bersikap tamak,perlu berlaku adil dan kasih sayang diantara keluarga. Dalam kesempatan ini, mari kita bersama-sama mendoakan seniman dan seniwati negara yang telah meninggalkan kita. Semoga roh mereka ditempatkan bersama orang beriman.

Jasa dan hasil karyawan mereka akan sentiasa terpahat di hati kita semua.