Bagaimana Pakatan Harapan boleh elak kleptokrasi sepenuhnya?

Dari segi pendakwaan, apa yang dihadapi oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi membawa makna lebih besar kepada politik negara berbanding dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Ini kerana pada masa ini, Zahid adalah Presiden Umno sedangkan Najib sudah tidak berjawatan parti.

Walaupun tuduhan-tuduhan itu tiada kaitan dengan partinya, tetapi selaku pemimpin utama pertubuhan itu, ia membawa implikasi politik yang besar.

Sungguhpun penyokong-penyokongnya menyifatkan perkara itu sebagai bermotif politik tetapi apa yang penting ialah kerajaan berasa mempunyai cukup bukti untuk melakukan pendakwaan.

Sebelum ini, iaitu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, isu yang dijadikan slogan utama oleh Pakatan Harapan ialah menjatuhkan kleptokrasi.

Perkara itulah yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, calon Perdana Menteri Pakatan Harapan ketika itu, sepanjang kempen walaupun ia sebagai istilah, sukar bagi orang awam untuk menghadamnya.

Tetapi istilah kleptokrasi tepat untuk menggambarkan kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN) pimpinan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) yang diketuai oleh Najib.

Istilah kleptokrasi yang diambil daripada perkataan Yunani iaitu klepto dan krasi bermaksud pemerintahan yang berasaskan pada mengambil sesuatu yang bukan miliknya.

Perkataan kleptokrasi ini sudah lama digunakan oleh ahli sains politik. Ia timbul beserta dengan munculnya sistem negara bangsa (nation states) dan demokrasi.

Iaitu ada sistem yang jelas membezakan antara harta seseorang dengan hak milik kerajaan atau orang ramai.

Selepas Perang Dunia Kedua, istilah kleptokrasi ini banyak dirujuk kepada negara-negara dunia ketiga yang sistem pentadbirannya tidak diurus dengan baik, bersih dan amanah.

Terhadap Malaysia, istilah kleptokrasi ini mula timbul apabila ia digunakan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat dalam laporan siasatannya ke atas 1MDB.

Dari situlah kemudian, Dr Mahathir menggunakannya sebagai sebahagian slogan untuk PRU14. Sebelum beliau, orang yang juga awal menggunakan istilah itu ialah Ketua Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang.

Walaupun manifesto Pakatan Harapan meliputi banyak perkara tetapi tumpuan utama adalah menjatuhkan kleptokrasi, dalam erti kata lain, ia juga bermaksud, membubarkannya.

Sememangnya perhatian utama Dr Mahathir sendiri adalah terhadap Najib dan kaitannya dengan 1MDB.

Namun istilah kleptokrasi bukan setakat merujuk pada Malaysian Official Number One (MO1) seperti dalam laporan DOJ itu. Kleptokrasi merujuk pada kerajaan itu sendiri.

Dalam sistem pentadbiran demokrasi moden, kerajaan atau The Government, atau pihak yang memerintah terdiri daripada dua lembaga iaitu parti politik dan jentera perkhidmatan awam.

Parti politik itu memerintah melalui mandat rakyat yang diperolehi daripada pilihan raya dilaksanakan oleh perkhidmatan awam.

Jadi apabila kleptokrasi, tentulah ia berpusat pada parti yang memerintah dan atas kuasanya, ia melarat dan membabitkan juga pada perkhidmatan awam yang bersekongkol.

Maka apabila Dr Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri, maka langkah pertama beliau adalah untuk membubarkan kleptokrasi ini.

Daripada maklumat yang kini dapat diperoleh, tentunya beliau boleh melihat jaringan kleptokrasi berakar dari parti politik terdahulu hingga kepada anggota perkhidmatan awam yang bersekongkol.

Perkara ini dibayangkan sendiri oleh Dr Mahathir dalam pelbagai wawancara apabila ditanya.

Paling akhir iaitu dalam sesi dialog Bicara Minda di Karangkraf pada 22 Oktober lalu apabila beliau menyebut mengenai perhatian utama adalah terhadap kes-kes penting dahulu. Beliau merujuk kepada kes yang dihadapi oleh Presiden Umno itu.

Dr Mahathir juga membayangkan bahawa kleptokrasi ini bukan saja angkara para pemimpin parti itu. Ia juga melibatkan keseluruhan ahli-ahli Umno kerana merekalah menyokong dan mendukung orang yang melakukan perbuatan-perbuatan salah.

Dalam erti kata lain, ahli-ahli Umno juga yang mendukung kleptokrasi.

Bagi para penentang lama Umno, iaitu mereka yang mula menyertai pihak pembangkang pada tahun-tahun 1980-an, dan sebelumnya sememangnya mereka sudah merasakan sesuatu yang tidak betul ada pada parti itu, termasuk ketika Dr Mahathir berada di dalamnya.

Pakatan Harapan terdiri daripada empat lapisan generasi penentang Umno. Paling atas sekali ialah Dr Mahathir dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang mula menentang Umno pada tahun 2016. Mereka menganggap Umno adalah parti yang menyebabkan kleptokrasi ini.

Usaha mereka hendak mengubah Umno dengan menggantikan pimpinannya dari dalam telah gagal.

Lapisan kedua ialah generasi yang menentang Umno semasa gerakan Reformasi yang dilancarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Mereka yang kemudiannya menubuhkan Parti Keadilan Nasional menyerukan Reformasi pada kerajaan setelah gagal melakukan pembaharuan dari dalam Umno, ketika itu di bawah pimpinan Dr Mahathir. Masa itu tidak berlaku lagi kleptokrasi.

Generasi di bawahnya pula ialah mereka yang menentang Umno Baru bermula pada tahun 1990 melalui Parti Semangat 46 di bawah pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah.

Mereka menyerukan amalan demokrasi yang baik, sesuatu yang dilihat tidak dilaksanakan oleh Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri ketika itu.

Tengku Razaleigh dan sebahagian besar penyokongnya kemudian menyertai Umno Baru.

Mereka bukan saja menjadi penyokong Dr Mahathir tetapi juga terus mendokong pengganti-penggantinya iaitu Tun Abdullah Ahmad dan Najib.

Namun begitu, ada juga sebilangan penyokong Semangat 46 kekal menjadi penentang Umno. Ada yang turut menyertai gerakan Reformasi dan kini merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan.

Ironinya, Tengku Razaleigh berusaha membersihkan Umnk selepas PRU14 dengan menyertai pertandingan pemilihan parti itu menentang Zahid. Tetapi perwakilan parti menolak tawaran beliau. Bagaimanapun, beliau tetap bersama Umno.

Lapisan keempat, generasi paling awal atau asas ialah mereka yang menentang Umno pada tahun awal 1980-an, atau sebelumnya.

Mereka dalam Pakatan Harapan yang berada pada kategori ini ialah sebahagian penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dahulunya adalah dari Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Amanah Negara yang dahulunya dari Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dan DAP.

Pada awal tahun 1980-an dan sebelumnya, PRM, Pas dan DAP menentang Umno atas fahaman politik kepartian masing-masing.

Tetapi terdapat persamaan fahaman di antara ketiga-tiga parti bahawa Umno memerintah negara dengan suatu budaya yang tidak melaksanakan demokrasi pada sewajarnya.

Ia termasuk ketiadaan kebebasan media dan lebih-lebih lagi ketika itu terdapat banyak kongkongan terhadap kekangan kegiatan politik.

Akibat daripada budaya itu, Umno berkembang menjadi pertubuhan yang dirundung dengan politik wang.

Perkara ini turut diakui oleh Dr Mahathir. Seterusnya ia berkembang kepada nepotisme dan kronisme.

Reputasi korupsi bergerak daripada persepsi kepada realiti. Budaya korupsi dianggap suatu yang tidak salah. Maka tidak hairanlah ia berkembang menjadi kleptokrasi.

Maka usaha membubarkan kleptokrasi perlu menyeluruh dan berterusan yang bukan saja ditujukan pada Umno tetapi juga menghalang parti-parti lain yang berkuasa pada masa akan datang mengulangi sejarah buruk ini.

Namun begitu, kejayaan mengatasi kleptokrasi hanya berjaya jika mendapat sokongan padu rakyat.

Jika rakyat termasuk ahli-ahli parti politik, perkhidmatan awam dan pihak swasta lebih suka hidup dala mkleptokrasi, negara akan terus terjebak pada budaya ini.