Bagaimana pelampau agama boleh pulihkan pelampau agama, soal Hanipa

Oleh HUSIN MAHAT

Zamihan Mat Zin
Zamihan Mat Zin

Keputusan kerajaan pusat untuk terus menggunakan khidmat penceramah agama kontroversi Zamihan Mat Zin bagi program pemulihan pelampau agama khususnya tahanan militan Daesh dipersoalkan tokoh agama dan penggubal undang-undang kerana mustahil seorang yang berfikiran melampau berupaya memulihkan pelampau.

Mengulas kenyataan timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bahawa khidmat Zamihan masih diperlukan untuk mengendalikan program pemulihan tahanan militan Daesh di Penjara Tapah, ahli parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin berkata, adalah sesuatu yang ganjil apabila seorang yang berfikiran pelampau diberi tugas untuk memulihkan pelampau.

“TPM membela Presiden Aswaja (Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah) yang dikatakan pakar pulihkan akidah para pelampau agama khususnya mereka yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan ISIS (Daesh).

“Saya tertarik dengan komen mufti Perlis yang secara tersirat menempelak kenyataan TPM tersebut dengan menyatakan ‘bagaimanakah pelampau boleh pulihkan pelampau?’

“Memandangkan kita tidak pernah melihat atau mendengar bagaimanakah pakar pemulih itu mengendalikan pemulihan akidah tersebut, jadi agak sukar juga nak setuju dengan TPM,” ujar Hanipa di laman Facebooknya.

Menurut pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (Kanun) itu, Zamihan banyak mengeluarkan kenyataan yang pada hemat beliau hanya boleh dikeluarkan oleh seorang individu yang mempunyai sindrom ‘ghuluw’ (pelampau/ekstremis).

“Lihat sahaja kenyataan terbarunya mengenai mangsa-mangsa banjir yang bukan Islam yang berlindung di masjid (di Pulau Pinang),” kata Hanipa.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama Hari Inovasi Huawei Asia-Pasifik 2017 di ibu negara, hari ini, Ahmad Zahid berkata walaupun tidak dibenarkan memberi ceramah di Selangor, namun kepakaran Zamihan dalam bidang pemulihan akidah militan masih boleh digunakan.

“Dalam perkara ini Zamihan adalah salah seorang pakar pemulihan dan mengikut rekod, kejayaan pemulihan akidah yang dilaksanakan Zamihan cukup berjaya,” katanya.

Ahmad Zahid menyifatkan Zamihan sebagai aset penting dalam usaha pemulihan akidah pengganas khusus “untuk mengembalikan mereka ke jalan benar”.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Zamihan adalah pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dipinjamkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk menyemak penerbitan agama dan kini ditempatkan di Jabatan Penjara Malaysia sebagai pegawai pemulihan pengganas dan penjenayah ekstremis.

“Saya tidak fikir beliau harus dihukum dengan jawatan yang diberikan di penjara itu,” katanya.

Zamihan mendapat perhatian umum baru-baru ini apabila menjadi punca kemurkaan Sultan Johor setelah video ceramah beliau yang mengkritik baginda kerana menegur pengusaha ‘dobi untuk muslim’ di Muar menjadi tular di media sosial.

Ekoran daripada itu Sultan Selangor turut mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menarik balik tauliah mengajar Zamihan melalui Peraturan 4, Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 kerana ceramah beliau itu dirakam di Masjid Diraja Klang.

Keahlian Zamihan dalam Jawatankuasa Tauliah Mais, yang menapis penceramah agama di Selangor juga dibatalkan.