Malaysia Dateline

Bagaimana pemuda ini diterima kerja di Bank Dunia? Hantar 1,500 permohonan, 600 emel, 80 kali ‘call’

Tidak berputus asa. Pemuda ini bertindak menghantar 1,500 permohonan kerja, 600 e-mel dan membuat 80 kali panggilan akhirnya hasrat beliau untuk bekerja di Bank Dunia tercapai.

Ditambah pula desakan kedua ibunya yang sentiasa bertanya tentang khabar tentang keadaanya membuatkan beliau perlu bekerja keras bagi mendapatkan pekerjaan itu.

Seorang lelaki bernama Vatsal Nahata berusia 23 tahun merupakan graduan daripada Ivy League dan lulusan dari Universiti Yale berkongsikan kisah kejayaannya itu yang bermula sewaktu COVID-19 melanda pada 2020, lapor NDTV.

Beliau mendedahkan pengalamanya itu dengan menyatakan bahawa banyak syarikat pada ketika itu sedang memecat pekerja mereka bagi bersiap sedia menghadapi pandemik COVID-19.

“Saya tidak mempunyai pekerjaan dan saya akan menamatkan pengajian dalam masa dua bulan. Saya merupakan pelajar di ‘Yale’. Apa gunanya datang belajar di Yale sedangkan saya tidak berjaya mendapatkan sebarang pekerjaan walaupun belajar di sini.

“Tetapi saya berazam untuk tidak kembali semula ke India, dan gaji pertama saya mestilah hanya dalam Dolar. Saya melakukan semua sehabis baik dalam rangkaian dan mengelak untuk memohon kerja dengan mengisi borang atau melalui portal pekerjaan,” kata Nahata.

Pemuda itu kemudian menambah bahawa dalam masa dua bulan, dia telah menghantar lebih 1,500 permohonan, menulis 600 e-mel, membuat 80 panggilan dan terpaksa merasai banyak penolakan kerja.

“Akhirnya, saya berjaya mendapatkan pekerjaan dengan kaedah unik itu. Saya mendapat empat tawaran kerja pada minggu pertama bulan Mei dan saya telah memilih Bank Dunia.

“Mereka sanggup menaja Visa saya selepas OPT saya dan pengurus menawarkan saya sebagai pengarang bersama pada penulisan Pembelajaran Mesin,” kata Nahata dalam catatannya.

Lulusan bidang Ekonomi dari Kolej Perdagangan Sri Ram (SRCC) Delhi itu kemudian berkata fasa sukar tersebut mengajarnya beberapa perkara. Kuasa perhubungan kini menjadi sifat keduanya, keyakinan bahawa dia boleh bertahan dalam apa jua keadaan, dan ijazah Ivy League hanya mampu membawanya sejauh itu sahaja.

Nahata berkata lagi, perkongsian yang dibuatnya bertujuan untuk menggalakkan orang ramai supaya tidak cepat berputus asa.

“Jika anda mengalami sesuatu yang buruk di dunia ini teruskan berjalan, jangan mengalah. Hari yang lebih baik akan datang jika anda belajar daripada kesilapan anda,” katanya lagi.

Baca juga: Pelancong tiba-tiba loya, tertidur selepas termakan sup ganja ketika bercuti di Thailand

Baca juga: Majikan mesti tunggu pekerja asing baharu tiba di KLIA