Malaysia Dateline

‘Bagaimana rakyat nak hidup 8 bulan darurat?’

Timbalan Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengakui terkejut dan terkilan dengan pengumuman kerajaan yang menguatkuasakan perintah darurat secara tiba-tiba.

Menerusi respon segeranya sebentar tadi, Salahuddin menegaskan agar kerajaan perlu bertanggungjawab memberi penjelasan kepada rakyat berhubung perincian darurat yang diumumkan.

Beliau juga melahirkan kekhuatiran bagaimana rakyat mahu meneruskan kehidupan dengan pengisytiharan tersebut yang dijangka akan berkuatkuasa sehingga 1 Ogos nanti.

“Saya sendiri agak terkilan dan terkejut dengan berita ini kerana langsung tidak ada isyarat pengumuman daripada Perdana Menteri yang sepatutnya memberitahu lebih awal tentang permohonan darurat ini.

“Pencerahan perlu diberikan apakah sebenarnya tujuan darurat dan bagaimana rakyat boleh hidup dalam keadaan darurat seperti ini.

“Saya harap satu penjelasan lebih terperinci dan lebih rapi perlu diberikan kerajaan supaya kita dapat hidup bersama beberapa bulan ini dalam keadaan negara kita didaruratkan,” tegasnya kepada Malaysia Dateline tadi.

Beliau berkata demikian ketika melawat Pasar Gombak dan Pasar Chow Kit sebelum menyerahkan memorandum mendesak kerajaan menurunkan dan menstabilkan harga barang di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Putrajaya hari ini.

Salahuddin bertanyakan harga barangan kepada peniaga di Pasar Chow Kit di ibu negara.

Terdahulu, Malaysia dikejutkan dengan pengisytiharan darurat yang sekali gus menyaksikan tiada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam tempoh terdekat.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dimaklumkan telah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat itu sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal.

Baginda memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19 selepas menerima menghadap Muhyiddin di Istana Negara, semalam.