Bagamaimana AMANAH stabilkan Pakatan Harapan?

Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH)  berlangsung dan berakhir dengan selamat baru-baru ini di Ipoh.

Ia merupakan perhimpunan yang bergaya bagi AMANAH memandangkan pertama kali diadakan sebagai parti memerintah di Perak dan persekutuan.

Sesungguhnya kemenangan Pakatan Harapan pada 9 Mei lalu adalah suatu peristiwa manis bagi pendukung AMANAH.

Sesungguhnya perhimpunan nasional tahunan bagi sesuatu parti politik merupakan acara kemuncak untuk mewujudkan rasa kebersamaan di kalangan para pendukung perjuangannya.

Bukan saja dari kalangan pemimpin, aktivis, ahli tetapi juga penyokong-penyokong biasa parti. Seboleh-bolehnya para pendukung wajar juga turut serta memeriahkan perhimpunan-perhimpunan seperti ini.

Parti politik bukan sekadar wadah untuk mendapatkan kekuasaan tetapi ia juga merupakan astaka berhimpunnya sekumpulan manusia yang berkongsi idealisme dan emosi, bertukar-tukar fikiran dan perasaan.

Parti politik merupakan satu wadah sosial yang diperlukan oleh sebahagian orang. Maka parti politik juga mempunyai ethos, tradisi dan adat dalam parti yang tumbuh dan berkembang untuk menjadi ikatan sesama bukan saja para aktivis dan ahli tetapi juga penyokong-penyokong yang hanya memerhati dari luar.

AMANAH adalah parti baharu yang ditubuhkan pada tahun 2015. Walaupun ia melonjak tinggi dengan turut memenangi pilihan raya umum ke-14 bersama Pakatan Harapan tetapi ia bukanlah merupakan parti yang berakar umbi mantap atau established seperti mana Umno, Pas dan DAP. Malah PKR pun tidaklah semantap parti-parti lama itu. Bersatu lagilah, ia muda setahun daripada AMANAH.

Loading...

Namun begitu AMANAH pun mempunyai akar umbi, yang asalnya tercabut daripada Pas. Tetapi ia masih tidak sekukuh Pas. Ia adalah seperti akar umbi yang dicabut dan kemudian ditanam semula, tentulah ia memerlukan penjagaan yang lebih teliti.

Selain itu, ada segelintir anggota AMANAH yang asalnya merupakan ahli Parti Pekerja-pekerja Malaysia (MWP). Apabila parti ini menjadi AMANAH, mereka kekal dan bersedia untuk berjuang dalam wadah baharu ini.

Mereka bukan Islam dan fahaman asal mereka adalah beraliran kiri. Kehadiran mereka juga menjadi tarikan kepada peminat-peminat AMANAH dari kalangan bukan Islam. Seperti mana kesediaan seorang bekas pemimpin Gerakan yang bukan Islam menyertai AMANAH.

Parti ini berbeza daripada Pas kerana ia adalah parti berbilang agama. Sungguhpun begitu, perjuangannya tetap berteraskan Islam, iaitu dengan pendekatan yang berkonsepkan Rahmatan Lil Alamini.

Ia juga merupakan gagasan yang diterima pakai oleh Pakatan Harapan sendiri.

Fahaman ini telah lama dipegang juga oleh pemimpin-pemimpin AMANAH ketika mereka berada dalam Pas sebagai golongan yang pernah dilabel sebagai profesional, progresif, Erdogan dan Anwarinas.

Tetapi kini AMANAH adalah sebuah parti politik yang terbuka. Ia tidak menampilkan diri sebagai jamaah Islam dalam sebuah gerakan Islam seperti mana anggota-anggotanya mengalami ketika mereka berada dalam Pas dahulu.

Namun begitu AMANAH tetap didukung secara tidak langsung oleh kumpulan-kumpulan Islam seperti Pertubuhan Ikram yang mempunyai teras sebagai jamaah Islam dari kalangan gerakan Islam. Begitu juga kumpulan seperti Islamic Renaissance Front secara tidak langsung juga memberi sokongannya kepada AMANAH.

Maka parti ini merupakan wadah terbuka kepada pelbagai aliran.

Bukan itu saja, sejak kemenangan Pakatan Harapan, banyaklah ahli-ahli baharu, bukan saja dari bekas penyokong Pas tetapi juga kalangan Umno. Maka AMANAH muncul sebagai parti yang inklusif dengan anggotanya berlatar-belakangkan dari asal yang berbagai.

Maka proses pemantapan perlu juga dilakukan. Semua parti tentu mahukan bukan saja ahli-ahlinya, malah para penyokongnya juga memahami dan menghayati teras perjuangan AMANAH. Selain dari kursus-kursus khusus untuk ahli dan program perkaderan bagi aktivis, ceramah dan forum untuk penyokong juga perlu supaya fikrah atau ideologi AMANAH dapat difahami dan diterapkan.

Untuk itu, biro-biro bagi pendidikan dan latihan bagi aktivis dan ahli adalah penting dengan pemahaamn bahawa AMANAH bukan saja mahu menang pilihan raya tetapi melaksanakan inti perjuangannya pada jangka panjang.

Tentunya dalam keadaan yang ada sekarang, masih banyak perkara yang belum dimantapkan. Bukan saja hala tuju AMANAH sendiri tidak jelas bagi banyak penyokong-penyokongnya tetapi juga kedudukannya dalam Pakatan Harapan sebagai kerajaan.

Cumanya, kedudukan AMANAH adalah lebih stabil daripada parti-parti lain dalam Pakatan Harapan, khususnya PKR dan Bersatu. Sifat PKR dapat dilihat sebagai sebuah parti yang dinamikanya menjadikannya sentiasa bergolak, walaupun ia merupakan parti paling besar dalam Pakatan Harapan.

Bersatu pula sedang melalui proses evolusi. Kedudukan kecil dan baharunya adalah seperti AMANAH. Tetapi cita-citanya untuk menggantikan Umno dan seterusnya menjadi dominan menyebabkan ia belum stabil lebih-lebih lagi dengan penyertaan bekas ahli Umno.

Persaingan Bersatu dengan PKR bersama dua tokoh terkemuka yang memimpinnya memperlihatkan bahawa pergolakan melibatkan dua parti itu melanjutkan politik Umno dahulu ketika mereka berada dala parti lama itu.

AMANAH dilihat tidak memberikan sebarang persaingan pada mana-mana parti dalam Pakatan Harapan walaupun banyak orang melihat bahawa tugas AMANAH adalah untuk menggantikan Pas. Tetapi setelah pilihan raya lalu, ternyata AMANAH tidak dapat menembusi wilayah tradisi Pas. Ia harus menerima keadaan sedia adanya. Tidak lebih dan tidak kurang.

Namun boleh dikatakan bahawa AMANAH dan DAP adalah parti yang menstabilkan Pakatan Harapan. DAP tidak dapat melangkaui apa yang diperolehi dalam pilihan raya lalu. Ia dianggap parti yang mewakili orang Cina. Usahanya untuk meningkatkan penyertaan orang Melayu dilihat hanya sampai pada apa yang ada.

Maka dalam suasana politik yang bergolak dalam Pakatan Harapan, peranan AMANAH dan DAP sebagai parti yang menstabilkan adalah menjadi lebih besar. Bagi rakyat yang majoritinya tidak berkecenderungan mengikut perkembangan politik, perhatian mereka adalah tertumpu pada prestasi kerajaan Pakatan Harapan, baik di peringkat persekutuan mahupun negeri.

Orang ramai bukan saja tidak mempedulikan politiking dalaman PKR, atau persaingan antara Bersatu dengan PKR, atau kedudukan AMANAH dan DAP, tetapi mereka sukar untuk memahami naluri politik para aktivis.

Dalam menghadapi keadaan ini, sokongan yang diperolehi hanya boleh diraih melalui prestasi para penyandang jawatan oleh para pemimpin parti politik. Baik di peringkat menteri hinggalah ke struktur bawah, iaitu wakil-wakil rakyat, ahli-ahli majlis perbandaran dan ketua-ketua kampung. Di peringkat inilah, para pemimpin Pakatan Harapan termasuk AMANAH boleh membuktikan kemampuan mereka.

Sememangnya buat masa ini, belum cukup setahun memerintah, banyak penyokong AMANAH lebih tertumpu untuk mendukung dan mempertahankan prestasi penyandang-penyandang jawaran awam politik dari parti sendiri.

Tetapi kedudukan penyandang jawatan awam ini bukanlah suatu yang berkekalan. pelantikan anggota jemaah menteri adalah prerogatif perdana menteri.

Buat masa ini perdana menteri yang ada sekarang memberi banyak ruang kepada AMANAH. Tetapi keadaan ini tidak semestinya berkekalan untuk masa akan datang.

Sebagai parti kecil di kalangan anggota-anggota Pakatan Harapan, AMANAH perlu muncul sebagai sebuah parti yang bermutu dan berkesan. Ini bermakna banyak tenaga perlu lebih banyak dicurahkan pada pembinaan mutu parti.

Maknanya tarikan untuk menyertai dan mendukung AMANAH wajar terletak pada mutu kepimpinan dan pentadbiran. Inilah cabaran besar pada AMANAH.