Malaysia Dateline

Bagang kini menjadi sumber baru pendapatan nelayan Labuan

“Alhamdulillah, berkat lawatan menteri malam tadi. Pagi ini ikan bilis banyak masuk ke bagang.. sampaikan ucapan terima kasih saya kepada YB menteri dan semua yang terlibat.”

Itulah bunyi pesanan yang dihantar oleh seorang pengusaha Bagang iaitu tempat menangkat ikan bilis di Labuan, Junaidi Mohamad, kepada kenalannya di Perbadanan Labuan.

Junaidi yang lebih dikenali sebagai June adalah salah seorang dari 10 pengusaha Bagang di Labuan.

Beliau membina Bagang untuk menangkap bilis dengan bantuan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) pimpinan Khalid Samad.

Khalid dan Timbalan KSU KWP, Datuk Wan Uzir, melihat bagaimana ikan bilis di tangkap di Bagang yang dibina oleh nelayan di Labuan.

Kalau dahulu Bagang ini dibuat tanpa lesen dari Jabatan Perikanan, kini lesen sementara telah dikeluarkan kepada mereka.

Malam tadi Khalid buat pertama kalinya turun ke Bagang yang dimiliki oleh June, selepas percubaan sebelum ini gagal kerana pelbagai masalah teknikal.

Menurut June, pada setiap malam beliau akan mengangkat tiga kali pukat yang diletak dibawah sinaran lampu untuk menarik ikan bilis berkumpul.

“Rasanya 30 kilo ini,” kata June kepada Khalid dan rombongannya merujuk kepada tangkapan yang dibuat kira-kira jam 10.00 malam tadi.

Dengan tiga kali tangkapan pada setiap malam, mereka boleh menaikkan kira-kira 100 kg ikan bilis dan lain-lain pada setiap malam.

Selain ikan bilis, turut dibawa naik adalah anak ikan Kekek yang bakal dijadikan sambal Ikan Kekek oleh June dan rakan-rakannya.

Sambal Ikan Kekek dari Labuan sangat terkenal dan kini menjadi sumber pendapatan nelayan di Labuan selain bilis.

KWP menjadikan bantuan untuk membina bagang sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan pendapatan nelayan di pulau yang asalnya sangat makmur dengan industri minyak dan gas itu.

Namun selepas industri itu tidak menentu, ramai penduduk terpaksa menjadi nelayan kembali.

KWP melalui Perbadanan Labuan juga sedang berusaha untuk meningkatkan industri pelancongan di pulau bebas cukai itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Labuan, Dr Fary Osman, pada tahun 2020 ini sebanyak 100 acara telah disusun untuk menarik dan seterusnya menggiatkan lagi industri pelancongan di Labuan.

Turut diaktifkan adalah industri pelancongan yang berasaskan laut dengan penglibatan para nelayan.

Labuan kini mempunyai 10 Bagang untuk menangkap bilis yang sudah mula mendapat lesen sementara dari Jabatan Perikanan.