Malaysia Dateline

Bagi KKM masa untuk putuskan rapatkan saf solat, kata KJ

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjelaskan pihaknya memerlukan beberapa minggu lagi bagi membuat keputusan untuk merapatkan saf solat kepada Majlis Raja-raja.

Beliau berkata, sebelum dibawa ke Majlis Raja-raja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melihat kesan varian Omicron terlebih dahulu.

Khairy mengaklui perkara itu telah menjadi perhatian KKM selepas pihaknya menerima permintaan dari pelbagai pihak supaya melonggarkan syarat SOP di masjid dan surau.

“Kita sangat prihatin tentang perkara (saf solat dirapatkan) ini, bukan kita tidak mahu membenarkan.

“Cuma bagi kami (KKM) tempoh masa beberapa minggu lagi untuk lihat kesan daripada gelombang varian Omicron dan kita boleh keluarkan nasihat untuk dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu,” katanya dalam sidang media semalam.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mencadangan supaya saf bagi solat jemaah kembali dirapatkan telah dikemukakan kepada pihak berwajib dan sedang dalam penelitian.