Hanya kerana ingin mencari rezeki, seorang lelaki terkandas bersama motor dinaikinya dalam banjir di Bachok, Kelantan hari ini.
Pekerja pasar raya di Kubang Kerian itu memberitahu, dia terpaksa meminta bantuan rakannya menggunakan trak pikap untuk membawa motornya kembali ke rumahnya.
“Motor saya mati dekat Kubang Kerian. Cuba nak hidupkan tapi tak boleh.
“Air pula dah semakin tinggi. Jadi, terpaksa hubungi rakan untuk bawa balik motor yang dah tersadai di tepi jalan.
“Terpaksa tunggu hampir tiga jam sebelum dapat bantuan,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Kuchelong di Bachok meluahkan kegusarannya apabila rumah yang jarang dinaiki air kini sudah mencapai paras tangga kediamannya.
“Tak pernah lagi air naik setinggi ini. Tambahan pula hujan tak berhenti sejak semalam. Jalan keluar masuk pun dah tutup.
“Nasib baik ada kawasan rumah jiran yang tinggi sedikit. Jadi, semua motor dan kereta diletakkan di kawasan yang tidak ditenggelami air,” kata guru Bahasa Arab yang pulang bercuti.
Seorang lagi penduduk di kampung sama terpaksa memindahkan peti ais dan barangan penting di dapur ke bahagian atas rumah yang lebih tinggi setelah ruangan dapurnya dipenuhi air akibat hujan berterusan.
Malam tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang membabitkan Jerantut dan Kuantan.
Kesemua negeri dan daerah terbabit diletakkan pada tahap merah iaitu bahaya sehingga Rabu, 21 Disember ini.
Baca juga ‘Rumah tenggelam paras dada, hujan lebat luar biasa, orang kampung ramai terperangkap’