Malaysia Dateline

Bahagian PKR Sarawak yang tidak setia digesa undur diri

Seluruh Ahli Jawatankuasa bahagian PKR di Sarawak yang tidak setia kepada parti digesa untuk mengundurkan diri.

“Mereka telah bekerjasama dengan Datuk Seri Azmin Ali berkomplot menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Penyelaras Bahagian PKR Sibu, Robert Lim.

Lapan bahagian dikatakan terlibat tidak setia kepada PKR dan Anwar termasuk Mas Gading, Bandar Kuching, Stampin, Petra Jaya, Kanowit, Lanang, Lubok Antu dan Bintulu.

Lim merupakan yang pertama dilantik Pengerusi baharu PKR Sarawak Larry Sng sebagai Penyelaras Bahagian PKR Sibu.

Sebelum ini, beliau berperanan sebagai Pengerusi Bahagian Sibu.

Menurut Lim, komplot kumpulan ini wujud sejak 12 tahun lalu yang telah berpihak kepada Azmin dan seharusnya perlu meninggalkan parti kerana ketua mereka sudah tiada lagi.

Mengenai dakwaan kumpulan itu bahawa parti itu telah menyimpang daripada tujuan asalnya, Lim menjelaskan itu hanya satu alasan mereka untuk menutup kesalahan diri sendiri.

“Nama mereka telah dikeluarkan dari jawatankuasa negeri secara semula jadi dan mereka harus meletakkan jawatan,” tegas beliau lagi.

Menyentuh mengenai tindakan PKR negeri menyingkirkan kumpulan itu, beliau berkata, pihaknya mendapat sokongan daripada ahli parti dan orang ramai yang meminta mereka meletak jawatan.

“Saya harap mereka daripada kumpulan ini yang menang di bawah tiket parti dalam pilihan raya umum yang lalu juga akan meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Pada 19 Mei lalu Sng berkata, mereka akan melantik beberapa penyelaras baharu untuk cawangan lain bagi membantu membina semula parti.

Untuk rekod kata Sng, lebih kurang 100 ahli telah mengundurkan diri atau digantung daripada parti sejak dua bulan lalu.

Tempoh siap penstrukturan semula semua bahagian parti ini di seluruh negara dijangka siap pada Jun depan.

“Apabila semuanya selesai, parti ini akan menampilkan jentera yang kuat dan lebih bersatu daripada sebelumnya,”ujarnya.