Bahan lucah kanak-kanak: polis Jerman tahan tiga suspek lelaki

Bahan lucah kanak-kanak: polis Jerman tahan tiga suspek lelaki

Polis Jerman pada Rabu menahan tiga lelaki yang disyaki melakukan penderaan seksual ke atas sekurang-kurangnya 23 kanak-kanak dalam tempoh 10 tahun di sebuah tapak perkhemahan di negeri Rhine Utara-Dataran Barat, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.

Polis berkata dua daripada suspek disyaki mendera sekurang-kurangnya 23 kanak-kanak berusia lingkungan 4 hingga 13 tahun dalam tempoh itu.

Penderaan itu membabitkan penghasilan bahan lucah kanak-kanak di sebuah tapak perkhemahan di mana seorang daripada suspek tinggal.

Para penyiasat telah merampas lebih 40 bahan bukti dalam bentuk cakera keras dengan jumlah data 14 Terabait.

Suspek ketiga dikatakan adalah pelanggan yang menugaskan penderaan itu.

Polis berkata lebih banyak siasatan akan dilakukan.

— BERNAMA