Satu rakaman dikongsi oleh seorang jurutera tempatan yang bekerja di Korea Selatan telah berjaya mencuri perhatian orang ramai, baru-baru ini.
Menerusi video yang dimuat naik di laman TikTok itu, jurutera tersebut terlihat sedang memasak sendiri hidangan Melayu iaitu Udang Masak Lemak dan juga ayam goreng.
Bukan untuk diri sendiri, pemuda yang dikenali sebagai Fikri Akram itu rupa-rupanya memasak hidangan berkenaan untuk disajikan kepada rakan sekerjanya di Korea.
Tidak hanya menghidangkan udang dan ayam, Fikri turut memperkenalkan produk sambal segera iaitu Sambal Merah Ikan Talang Masin serta Sambal Hijau Bilis Petai.
Siapa sangka, beberapa orang lelaki warganegara Korea itu begitu menikmati semua hidangan yang diperkenalkan jurutera tersebut termasuk petai dan juga ikan masin.
Mengagumkan, Fikri juga berjaya meyakinkan rakan sekerjanya itu untuk menyantap hidangan menggunakan tangan bukan penyepit seperti yang sering mereka lakukan.
“Apabila anda cuba untuk Melayukan rakan sekerja (warga) Korea dengan makan menggunakan tangan.
“Makan Udang Masak Lemak dengan ayam goreng menggunakan tangan. Fuh, baru padu. Hari ini tiada penyepit, garfu dan sudu. Hidup Melayu!” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tular di media sosial, video yang dimuat naik di akaun TikTok @fikriakram91 itu telah berjaya mendapatkan tontonan daripada 2.3 juta pengguna platform berkenaan.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pelayar TikTok berkongsi perasaan kagum apabila melihat usaha Fikri memasak hidangan tempatan untuk rakannya.
Ramai juga penonton berkongsi rasa bangga apabila rakyat dari luar negara sangat meminati hidangan tempatan malah langsung tidak kekok makan menggunakan tangan.
“Noh, siap tambah nasi. Barulah mereka tahu penangan ‘hantu’ makanan orang Melayu,” kata seorang pengguna yang tumpang bangga dengan usaha jurutera tersebut.
“Pandainya mereka makan menggunakan tangan. Nampak tak kekok pun.” Kata pengguna lain yang kagum melihat rakan sekerja Fikri yang merupakan warga Korea itu.
Baca juga: Video lama Sophia Albarakbah tular semula, “rupanya Aliff Aziz yang melebih-lebih”