Bahana hasil negara bergantung pada Petronas kini dirasai

Bahana hasil negara bergantung pada Petronas kini dirasai

Situasi harga minyak mentah yang terus menjunam pada paras terendah dalam tempoh 12 tahun kepada hampir AS$27 (RM118.21) setong menuntut kerajaan meneliti semula pendekatannya dalam perbelanjaan yang diluluskan.

Shaani AbdullahAhli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Muhammad Shaani Abdullah berkata, kebocoran dan pembaziran dana awam harus dipastikan tidak terus berulang ketika perolehan negara sedang berkurang.

“Isunya cara perbelanjaan, sama ada wajar atau tidak. Sudah banyak laporan tentang ketirisan. Ini yang kita harus tuntut supaya dihentikan. Rakyat tuntut kebertanggungjawaban, telus dan berintegriti.

“Misalnya, masih ramai pengusaha yang memulakan perniagaan dengan modal sendiri tanpa bantuan kerajaan tapi mereka yang tiada sebarang perniagaan boleh mendapat geran, pinjaman mudah hanya kerana ada kaitan dengan yang berkuasa. Jika keadaan ini tidak berubah sukar untuk baik pulih keadaan,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Mengulas tentang kesan pengurangan dividen, cukai dan royalti Petronas kepada kerajaan yang sekaligus menjejaskan pendapatan negara, Shaani berkata, Malaysia sedang menerima kesan akibat terlalu bergantung kepada Petronas serta rizab minyak dan gas.

“Kita ambil mudah dengan kekayaan semula jadi. Memang sebelum ini, tiada siapa ingin fikirkan impaknya. Ini maksud tepat ‘putting all eggs in one basket’.

“Sejak Tun Dr Mahathir mengelak untuk melaksanakan cukai GST, inilah yang dikhuatiri. Petronas sumbang hampir 40 peratus dana kerajaan. Sekarang, kita terpaksa terima akibatnya,” jelasnya sambil mengakui kadar GST harus dimulakan dengan kadar rendah supaya tidak membebankan rakyat.

Mengulas lanjut pengubahsuaian Bajet 2016 yang dijadualkan diumumkan Perdana Menteri, 28 Januari ini, beliau berkata, rangsangan kepada sektor swasta masih diperlukan selain meneruskan projek-projek yang kritikal.

“Tidak ada jalan singkat. Kerajaan haruslah berbelanja untuk merangsang ekonomi. Pengguna harus mampu belanja supaya tidak berlaku penutupan lebih banyak premis perniagaan yang akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, dalam keadaan ekonomi tidak menentu pada masa ini, beliau berkata, keputusan dan polisi kerajaan berkaitan kelangsungan sosio-ekonomi segenap lapisan rakyat perlu ditangani dengan berhati-hati.

“Rakyat mahu tidak mahu akan melalui cabaran kesan kepincangan pentadbiran dan pengurusan pihak berkuasa. Ini bukan tidak dinasihatkan. Tapi masih tiada perubahan termasuk rancangan untuk membawa masuk pekerja asing.

“Waktu selesa kita tak mahu tegur penyelewengan. Waktu gawat macam sekarang tiada cara mudah. Yang bertanggungjawab harus dituntut bertanggungjawab.

“Pembekuan biasiswa JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) contohnya, satu tindakan tidak bijak. Golongan pelajar yang cemerlang dan menjadi aset kepada negara dinafikan hak mereka,” tambah Shaani lagi.

TAGS